Pages

Wednesday, May 06, 2009

Bonda's Day Contest @ SARAKIDS



Bismillah,


Untuk sampai kepada contest di atas, anda hanya perlu tekan pada gambar, tapi saya dengan sukacitanya ingin juga 'copy paste' syarat marat dia utk menyertai pertandingan mak-mak ini :




1) Copy paste banner di atas dan link semula ke blog Mummy sara & syasya dan
ceritakan pengalaman anda menjadi seorang ibu dan juga anak kepada ibu anda.
Credit akan diberi kepada penyertaan yang terdapat kisah "penyusuan/breastfeeding”. Hadiah adalah terhad kepada 10 penyertaan esei terbaik

2) Semua penyertaan adalah bermula pada 1hb Mei 2009 dan tamat pada 5
Jun 2009

3) Keputusan adalah muktamad dan terima kasih atas penyertaan
anda.

4) Cara-caranya: Anda boleh tinggalkan komen di entry ini beserta link
ke blog anda, dan anda boleh meneruskan penceritaan/esei di blog masing2.




Korang, maafkan angin sitisifir ye. Sebenarnya saya ada banyak draft entry yang saya nak puslish, tapi bila godaan macam Farah Sarakids ni buat, saya rasa nak aje merebut peluang keemasan ni. Tambahan pula, dah lama saya tak buat cerita pasal anak2 kecintaan saya demi menjaga hati2 yang membaca.



Pengalaman Menjadi Seorang Anak & Ibu


Terbaru, saya telah membeli lampin kain (cloth diapers) untuk dipakaikan kepada anakanda-anakanda saya. Saya memandang kepada penjimatan hebat dan juga tahap keselamatan yang ada pada lampin kain itu. Rupa-rupanya, saya tidak hanya melabur untuk mendapatkan wang lebih dan kesihatan yang sempurna tetapi ada sesuatu yang lain yang saya dapati dari pakej lampin kain itu.

Tahukah kalian, saya telah mempunyai 4 anak yang bermata bulat dan comel pada pandangan mata saya. Tidak saya pedulikan pandangan orang lain pada mereka kerana mereka selalunya menyenangkan hati saya. Selama saya mengandungkan dan melahirkan mereka, ternyata hanya selepas membeli lampin kain barulah saya sedar bahawa najis mereka sangat busuk dan tengiknya menusuk ke tekak ini. Saya belum pernah membiarkan lampin kain ini berlama-lama memandangkan saya hanya mempunyai 20 keping sahaja lampin ini. Jadi saya membasuhnya setiap malam dan setiap malam itulah, tekak saya serasa dipenuhi oleh rasa serba salah pada ibu yang melahirkan saya.

Kenapa saya kaitkan begitu? Selama saya melahirkan anak-anak ini, bukan saya tidak tercium bau najis mereka, tetapi inilah pertama kalinya saya perlu menghadap benda ini setiap malam. Sambil mencuci saya mengenangkan ibu saya yang pastinya melakukan kerja yang sama semasa membesarkan saya dan dua adik saya dahulu. Tidak juga saya lupakan mertua saya yang membesarkan 11 adik beradik suami saya.

Itu belum dicampurkan dengan kerja sebagai jururawat yang mempunyai aturan kerja yang berubah-ubah, pastilah membesarkan saya menjadi manusia seperti sekarang adalah satu cabaran yang hebat. Saya hampir tidak dapat mengingat semula, apakah keinginan saya yang tidak ibu dan ayah saya penuhi. Hampir semua permintaan saya dipenuhi dan saya sangat terhutang nyawa kepada mereka.

Juga saya tidak terbayang ibu mertua saya yang membesarkan anak-anaknya termasuk suami saya sambil terpaksa membelah kayu api sendiri, bercucuk tanam untuk mencari rezeki dan pelbagai kerja lagi sebelum melihat 11 anaknya menjadi manusia berguna seperti hari ini. Suami saya sering mengeluh, "Tengoklah tulang belakang chek (panggilan untuk ibunya) sampai senget nak besarkan 11 anak."

Sungguh, saya juga terusik melihat kedut di muka dan tangan emak saya, juga terusik semasa melihat mertua saya yang khusyuk solat dengan badannya senget ke kanan. Pastilah saya terusik dengan pengorbanan mereka itu sehingga saya menyukat-nyukat pula adakah saya terdaya untuk membalasi jasa mereka. Pastilah tidak sehingga bila-bila pun saya pasti tidak dapat membalasinya.

Kini, saya merasai pula apa yang dirasakan mereka. Keadaannya tidak sama. Zaman ini adalah zaman yang lain. Penuh dengan instrumen yang moden dan tidak membebankan. Pun masih perlu bekerja keras untuk memenuhi keperluan mereka. Saya perlu sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu untuk membangunkan anak-anak saya ini.

Selepas kelahiran pertama, saya bagaikan terpaku bila mata bersih anak sulung saya memandang saya dengan pandangan yang sukar saya ceritakan. Sangat syahdu sekali detik menyusukan Asmaa' sambil Asmaa' mendongak memandang mata saya. Walaupun ketika itu, saya terpaksa dijahit memandangkan koyak akibat melahirkan agak besar juga.

Saya bermula dengan kosong, pengalaman menyusu yang tiada, pengalaman menguruskan anak pun tiada dan saya hanya bergantung dengan artikel-artikel keibubapaan selain bantuan ibu dan mertua saya yang begitu banyak membantu saya. Jadi, saya juga melalui zaman susah dan pernah juga hampir-hampir mahu menghentakkan kepala sendiri ke atas lantai.

Bercerita mengenai pengalaman menyusu, saya sesali tiga anak saya terdahulu, kerana kurangnya pengetahuan mereka saya tidak susukan secara eksklusif dan penyusuan susu ibu hanya berlangsung selama 6 bulan sahaja. Perkara ini tidak pernah membuatkan saya menyesal sehinggalah selepas melahirkan Arwa dan saya berjaya menyusukan dia secara eksklusif juga secara langsung. Saya menilik-nilik diri, sebenarnya alasan-alasan yang saya gunakan dahulu untuk tidak menyusukan anak secara eksklusif adalah alasan orang yang tidak berilmu. Semua itu rupanya ada cara untuk mengatasinya. Pastilah untuk kelahiran seterusnya saya akan memperbaiki keadaan ini.

Juga pengalaman menguruskan anak-anak. Saya pernah berbulan-bulan makan makanan di kedai kononnya tidak mempunyai masa untuk memasak sendiri, juga pernah membiarkan almari saya kekosongan kerana baju yang telah dibasuh tidak dilipat, pinggan tidak berbasuh seminggu lamanya dan keadaan itu sebenarnya sangat melemaskan saya.

Saya lalu berfikir semula, apakah penawarnya kepada masalah saya ini kerana saya percaya tidak ada masalah yang tiada penyelesaian. Lalu saya temukan sesuatu selepas melahirkan Uwaiys anak ketiga saya. Saya telah temukan perkataan seperti 'Jangan Bertangguh' dan 'Kerjasama'. Suami saya juga telah menyambut baik inspirasi ini dan kami sama-sama bermula semula untuk masa hadapan yang lebih bermakna.

Walaupun keadaan ini disedari selepas mempunyai tiga anak, walaupun bagi sesetengah pihak usaha kami ini agak lambat, walaupun gigi anak-anak saya yang bertiga itu rongak, namun apa yang penting adalah kami sendiri tidak pernah merasakan yang kami terlambat untuk menjadi satu keluarga yang menyayangi antara satu sama lain. Saya kini tidak lagi rimas dengan keadaan rumah yang tidak menyenangkan kerana teamwork kami semakin menjadi.

Seiring dengan sikap kerjasama suami dan anak-anak, kini kami dapat berkongsi segalanya. Saya kini telah mula malu dengan diri sendiri andai tidak sempat menyapu, tidak sempat memasak dan tidak sempat melipat kain dan sebagainya. Jika saya letih, saya akan kongsi keletihan ini dengan anak-anak dan suami saya dan mereka akan membantu saya. Percayakah anda, Arwa yang semuda 1 tahun 3 bulan dah mula mahu membantu mengangkat kain yang saya lipat untuk dimasukkan ke rak? Walaupun ada kain yang keciciran dan saya perlu melipatkannya semula, saya masih menghargai pertolongan anak kecil saya ini.

Jika anda bertanya, apa yang boleh Asmaa' (5tahun) buat untuk saya? Jawabnya dia sudah boleh mengemas rumah dengan mengutip sampah-sampah kecil dan meletakkan kain yang berselerakan ke tempatnya. Usamah (4tahun) pula sudah boleh bekerjasama dengan kakaknya untuk mengangkat tilam dan bantal yang mereka tidur ke tempatnya sambil menyanyi, "APA YANG PENTING?? KERJASAMA.....". Mereka juga dengan sukarela mengutip botol-botol susu yang berselerakan ke dalam singki.

Uwaiys juga tidak kurang dengan aksi lucunya yang menyenangkan adik beradiknya dan kami ibu bapanya. Serasa rumah ini yang sekalipun dipenuhi mural lukisan tangan 4 beradik ini, sangat menyenangkan. Doakanlah saya diberi kekuatan untuk terus menjadi BONDA terbaik untuk anak-anak saya. Semoga juga anak-anak ini sentiasa berbangga punya Bonda seperti diri saya yang tidak seberapa ini.

No comments:

Post a Comment

Please Leave A Cool Message For Me ;) Peace!!!