Pages

Sunday, June 02, 2013

Torture Museum vs Neraka

Sebelum tidur semalam, saya sempat membaca buku Ustaz Zaharuddin Jangan Berhenti Berlari. Ustaz melawat ke Torture Museum (sila google utk gambaran jelas) dan melihat pelbagai alat yang digunakan untuk menyiksa manusia.

Ustaz mengingatkan bahawasanya, seberat-berat, sengeri-ngeri, seseksa-seksa apapun kekejaman yang dapat dilakukan oleh manusia, ia tetap tidak dapat melawan seksaan yang ada di neraka Allah.

Dari sebuah hadis ada diceritakan Allah SWT telah menghantar malaikat Jibrail bertemu malaikat Malik untuk mengambil api darinya bagi kegunaan Adam a.s untuk memasak. Malaikat Malik pun bertanya "Wahai Jibrail ! berapa banyakkah yang kamu mahu ? " Sebesar buah tamar, jawab Jibrail. Kata Malik tahukah kamu, kalau aku berikan api neraka sebesar yang kamu mahu pasti akan hancur lebur tujuh petala langit dan bumi kerana kepanasan."
Kalau begitu separuh buah tamar, kata Jibrail. Jawab Malik, "Kalau separuh darinya nescaya langit tidak dapat menurunkan hujan walaupun setitik kebumi dan segala tanaman akan musnah." Malaikat Jibrail lalu memohon pertolongan dari Allah SWT untuk mengetahui jumlah yang betul. Allah SWT lalu berfirman, "Ambillah sebesar biji sawi.". Pergilah Jibrail mendapatkan api itu kemudiannya api itu dibasuh dahulu dengan 70 buah sungai disyurga. Setelah itu ianya dibawa kepada Adam a.s dan diletakkan di atas puncak gunung yang tinggi. Tiba-tiba cairlah gunung dan tinggalah hanya sedikit maka api itulah yang digunakan hingga sekarang. 

Itu baru kisah apinya. Allahuakbar. Belum lagi kita mendengar tentang seksaan lain yang tidak terjangkau oleh akal fikiran kita. Sesungguhnya azab Allah itu benar sedangkan kita tidak tahu dimana tempat kita di akhirat kelak.

Lebih menakutkan, kita terasa kita sentiasa dalam rahmat Allah tetapi rupanya kita berada di dalam kemurkaanNya.

Al-Baqarah:126 - Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali". 

Selepas membaca tulisan UZAR itu, saya berusaha untuk lena. Lena dan berharap esok masih ada buat diri menambah amal kebaikan dimuka bumi. Sesungguhnya dunia bukan tempat bersenang lenang.

Duhai teman, ajaklah saya untuk menambah amal kebaikan. Semoga Allah menunjukkan jalan kepada kita semua. 

No comments:

Post a Comment

Please Leave A Cool Message For Me ;) Peace!!!