Thursday, March 13, 2014

Kebangkitan Semula Islam Bermula di Timur

'Āli `Imrān:169 - Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;

Pagi semalam, semasa dalam perjalanan pulang dari menghantar anak ke sekolah, suami mengingatkan saya tntang kebangkitan Islam di akhir zaman adalah di timur. Dimana timur? Saya tidak pasti tetapi kebarangkalian di tanah air kita inilah tempatnya itu ada. Wallahu a'lam.

Sekalipun apa saja yang berlaku di malaysia, impaknya tidak sedikit. Fenomena Ammar, kehilangan MH307, kemarau dan sebutlah apa sahaja isu yang melanda, banyak sekali pihak yang berjaya mengaitkannya dengan kebesaran Allah.

Benih-benih perkembangan Islam sedang bercambah dengan baik masa kini. Justeru suami mengajak saya berfikir, tidakkah kita ini mahu turut serta dalam perkembangan ini?

Perlahan saya menelan air liur. Jika benar kita percayakan hadis, maka kita mesti berusaha keras membuktikan hadis itu benar sepertimana ayahanda sultan muhammad alfateh percaya anaknya yang menepati hadis baginda.

Mungkin saja bukan kita. Tetapi andai kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menjadikan hadis ni satu kenyataan, maka secara tidak langsung kita akan membina jemaah yang akan membawa kita merealisasikan hadis kebangkitan Islam itu.

Jadi, saya terfikir untuk tidak mahu duduk diam lagi. Kita harus membina motivasi dalaman untuk mendidik generasi kita menjadi orang yang disebutkan di dalam hadis. Bagaimana caranya? Pastilah dari dalam diri kita sendiri.

Kebetulan saya ada usrah whatsapp yang sangat mantap. Kami sepakat untuk menjadikan beberapa perkara untuk dijadikan batu asas kepada amalan lain. Permulaannya, kami mencadangkan setiap ahli membaca surah alkahfi setiap hari jumaat.

Seorang daripada kami bertugas untuk mengingatkan kami tentang ini pada setiap khamis. Sungguh membaca seruannya membuat diri rasa berkobar-kobar untuk membacanya.

Usai alkahfi, kami disaran untuk melapor diri. Aktiviti ini kelihatan seperti menunjuk-nunjuk dan riak tetapi saya tidak memandangnya begitu. Kenapa? Kerana melihat sahabat2 saya yang sibuk dengan profesion masing-masing itu, masih sempat membaca alkahfi, kenapa saya tidak?

Beberapa minggu lepas, kami menambah aktiviti solat sunat sebelum subuh dan subuh diawal waktu. Rupa-rupanya, barulah saya perasan, bukan mudah untuk solat subuh diawal waktu. Tetapi dek teruja melihat kawan lain buat, semangat untuk buat itu menyala-nyala tiada tara.

Selama ini, kita terasa amalan seperti ini, tidak buat pun tidak mengapa kerana kita menganggap kerja lain lebih penting tetapi semangat ini membuatkan kami berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukannya.

Kesannya tidak sedikit. Alkahfi adalah insuran palinh kukuh untuk perlindungan dari fitnah dajjal. Solat awal waktu subuh juga menjadikan kita orang yang bangun awal dan seterusnya dapat memulakan aktiviti harian dengan lebih teratur.

Ya, saya banyak berubah bila bersama mereka. Mungkin masih terdapat kekurangan tetapi usaha itu selalu dirasakan di dalam diri. Malah saya berharap mereka menambah amalan lain dimasa akan datang.

Bi'ah inilah yang hendak kita bina. Dari kitalah juga yabg akan membina generasi depan yang lebih mantap dan gemilang. Sebelum turun kepada generasi, kita mula dengan diri sendiri. Supaya nanti akhirnya sekiranya kita mengajak orang lain, mereka akan mudah terajak.

Semoga juga kita akan dapat rasa hidup secara istimewa seperti yang dikatakan di dalam firman Allah diatas. Dunia ini sebenarnya sudah istimewa bagi kita, fikirlah betapa istimewanya kehidupan di syurga kelak.

Comments
0 Comments

0 cool comments:

Post a Comment

Please Leave A Cool Message For Me ;) Peace!!!