Bismillah,
Satu SMS dari suami nan tercinta telah membuat saya duduk senyap seketika. Dia mengharapkan saya mencintai ALLAH mengatasi cinta saya kepadanya. Rupanya mudah untuk menyebut perkara ini berbanding melaksanakannya dengan sepenuh penghayatannya. Senyap saya adalah kerana saya berfikir, adakah selama ini saya telah membelakangkan ALLAH SWT berbanding suami saya?
Dari satu segi, selepas terlaksananya akad nikah antara kami dahulu, maka dia telah menjadi lebih utama dari ibu bapa saya. Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang menunjukkan bahawa andai perlu manusia sujud kepada manusia, maka isterilah yang akan disuruh sujud di kaki suaminya. Maka salahkah pula saya mencintai suami saya.
Saya telah cuba mengutamakan dia berbanding manusia lain. Saya sentiasa mahu menjadi isteri terbaik yang pernah difikirkan selama dia hidup, juga tidak saya harapkan saya akan dicintai mengatasi cintanya kepada ALLAH dan Rasulullah juga ibunya. Saya akan beralah kepada tiga cintanya itu supaya suami saya sentiasa dalam berkat hidupnya.
Justeru, tidak salah kiranya saya mencintai suami saya mengatasi makhluk lain. Pun dia tidak akan mengatasi cinta saya kepada ALLAH SWT dan Rasulullah. Kerana ALLAH telah mentaqdirkan saya menjadi isterinya, maka saya mewajibkan diri saya mencintai suami saya itu. Maka kepatuhan saya adalah kerana saya mematuhi ALLAH dan Rasul juga.
Tetapi apabila diteliti dari sisi yang lain, rupanya tatkala kecewa dengan dia, saya boleh sahaja menjadi terlalu marah sehingga barangkali anak-anak akan turut menjadi mangsa kesabaran saya. Mana ada kehidupan berkeluarga yang terlepas dari masalah? Begitulah kehidupan kita bukan?
Justeru andai benar ALLAH lebih saya cintai dari suami saya, maka sepatutnya saya memahami bahawa itu adalah ujian dari ALLAH dan ALLAH sedang menguji kesabaran saya. Tidak pentinglah apa yang suami saya lakukan, saya masih ada cinta kepada ALLAH. Ini akan membuatkan kehidupan saya tidak gelap.
Kerana ketika terlupa kepada ALLAH, rupanya isteri yang terlalu rapat dengan suami akan merasa kehidupannya gelap tanpa suami disisi. Betapa cinta kepada ALLAH perlu dikukuhkan sekukuh-kukuhnya sehingga tiada lagi gangguan lain yang boleh menggoncang cinta ini.
Selain kerahmatan yang ALLAH beri dalam rumahtangga kita, ALLAH juga memberi ujian ini agar suami isteri lebih memahami antara satu sama lain. Setelah ALLAH benar-benar kita cintai melebihi segala yang lain, kita tidak akan takut kehilangan cinta lain termasuklah cinta kepada suami itu.
Tidaklah bermaksud untuk melupakan cinta kepada suami tetapi diakui, cinta manusia punya pasang surutnya. Justeru kita tidak akan kecewa dengan ALLAH andai dilanda badai masalah seperti apa sekalipun. Buat suamiku, terima kasih tiada terhingga, bukan tidak kau didikku sebelum ini berkenaan cinta kepada ALLAH ini tetapi di detik ini rupanya baru dapat ku resapi maksudnya.
Alhamdulillah dan terima kasih atas peringatan seperti ini. Memang benar dan benar sekali, cinta pd Allah dengan sepenuh jiwa raga tidak akan menjadikan kita insan yang kecewa dan putus asa biarpun kita dikecewakan oleh insan yg lain. Smg kecintaan kita pd Allah dan RasulNya menjadikan kita hamba yg taat dan patuh pd perintahNya dan dapat menjaga hak2Nya. Wallahu'alam.
ReplyDelete