Tuesday, February 25, 2014

Tanggungjawab Suami Memberi Nafkah

Bismillahirrahmanirrahim,

Tajuk berat. Sebenarnya saya tidak ada ilmu lengkap berkenaannya. Namun saya harap setiap pasangan suami isteri akan mula meneliti semula berkenaan hal ini.

Firman Allah di dalam Surah an-Nisaa’ yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (daripada beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanja (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

Dalam surat al-Baqarah, ayat 233 Allah SWT berfirman mafhumnya: “…Dan kewajiban ayah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang patut. Seseorang itu tidaklah dibebani lebih dari kemampuannya.”

Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Nasa’i yang bermaksud:
“Ya Rasulullah, apakah hak isteri ke atas kami?” Sabda Rasulullah SAW, “Hendaklah engkau memberi makan kepadanya apabila engkau makan dan hendaklah memberi pakaian kepadanya seperti mana engkau berpakaian.”

Setakat yang saya baca dan dengar, adalah menjadi kewajipan suami untuk memberi nafkah kepada isteri secara keseluruhannya. Keizinan dia kepada isteri untuk keluar bekerja tidak membatalkan kewajipannya memberi nafkah kepada isteri.

Seorang suami itu, hendaklah menanggung keperluan isi rumah dengan kemampuan yang ada padanya. Daripada makan pakai isteri sehinggalah anak semua menjadi tanggungjawab seorang suami. Kelak tanggungjawab ini akan dipersoalkan dihadapan Allah SWT.

Ok, sekarang saya ingin bertanya, bagaimana kita mengatur perbelanjaan rumah?

Ada sesetengah pasangan suami isteri membahagikan keperluan rumah sesama sendiri. Tidak ada masalah jika isteri itu redha.

Tetapi cuba perhatikan pula adakah isteri rasa xpuas hati, selalu mengamuk dan buat perangai?

Jika ada, adalah terlebih baik jika kalian duduk dan bincang semula berkenaan hal ini. Seorang sahabat saya sebelum ini telah berkongsi membuat pembayaran hal ehwal keluarga. Di hati kecilnya selalu mempertikai kenapa sama2 bayar tetapi dia buat kerja di dalam rumah lebih?

Masalah mereka boleh dikatakan selesai selepas segala keperluan rumah ditanggung oleh suami. Selepas itu, sahabat saya tidak berkira lagi walaupun kelihatannya dia seorang bertungkus lumus buat kerja di dalam rumah.

Islam ini sangatlah cantik. Memang mencari nafkah untuk keluarga adalah tanggungjawab suami. Ini adalah fitrah. Jika suami mampu menyediakan segalanya, maka sebenarnya tiada keperluan untuk seorang isteri itu keluar bekerja. Maka tetaplah isteri itu dirumah membuat kerja di dalam rumah dengan gembira.

Sekalipun isteri bekerja, harta isteri adalah isteri yang punya. Tidak ada kaitan dengan suami sekalipun dia memberi keizinan. Selesaikan segalanya dari segala bil yang ada, makan pakai isi rumah dan segalanya. Jika tidak cukup barulah meminta pertolongan dari isteri.

Kepada suami, jangan anggap isteri kalian berkira. Sebaliknya, perkara yang telah ditetapkan di dalam Islam ini memberi impak besar kepada keharmonian sesebuah rumahtangga. Apabila keperluan isteri dilayan dengan baik, maka jiwanya akan bahagia dan dia akan berikan apa sahaja yang suami mahukan.

Dari sinilah boleh diukur sama ada seseorang suami itu mahu menambah cawangan dan sebagainya. Jika selama ini masih tidak cukup keperluan maka fikirkanlah semula plan lain untuk menambah rezeki. Allah dah berjanji akan memberi rezeki, tapi kita mesti berusaha juga. Jangan tunggu sahaja rezeki datang begitu sahaja.

Cubalah dahulu, duduk dan bincang kembali. Persoalan nafkah bukan perkara main-main. Ia telah ditulis dalam hukum syara'. Dengan menanggung anak isteri, anda akan jadi super macho, percayalah. Semoga dengan membetulkan kefahaman ini, akan lebih harmoni rumahtangga kita. Ameen...