Thursday, June 24, 2021

Cukuplah Allah bagiku - Motivasi utama setiap Muslim

Bismillahirrahmanirrahim 


Sama ada seseorang itu berfikiran positif atau sebaliknya, adalah kerana seseorang itu sendiri decide untuk dirinya. 

Kita yang pilih kita bagaimana... mahu positif atau sebaliknya. 

Untuk menjadi seorang yang positif, perkara pertama hendaklah selalu duduk dalam kalangan mereka yang positif, membaca perkara yang positif, usaha bercakap dengan positif. 

Pun begitu, ada yang terjerat katanya sebab pasangan (suami isteri) tidak memberi support yang betul. Paling sebal, kita tidak boleh lari darinya. Terkurung dalam rumah sendiri dan sentiasa diberi tekanan.

Kalau begini, agak-agak boleh positif kah? 

Jawapannya, boleh. 

Bagaimana? 

…Cukuplah Allah bagiku. Tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki Arsy yang agung.”(At-Taubah [9]: 129)

Dalam keadaan sekarang, semua orang pun terkurung di rumah. Sesak dengan tugasan bekerja dari rumah, masalah mengatur anak yang melalui pdpr, pasangan yang tidak membantu, duit mengalir bagaikan air.... Sesak bukan? 

Tapi berpatah balik ke ayat di atas. Cukuplah Allah bagiku... Dalami lagi ayat ini. Rasakan cinta Ilahi itu. Kerna, hakikatnya kita sebagai hamba, itu saja yang kita perlukan. 

Banyak cara untuk menutupi kesedihan yang berlarut-larut itu. Ini antara yang dicadangkan oleh guru-guru saya. 

1. Qiamullail
2. Baca Al-Quran

Kedua ini, buat saja. Kalau kita belum rasa manisnya, buat lagi. 

Bersunyi-sunyi dengan Allah di waktu malam, mengadu apa saja yang tidak dapat diadukan pada manusia lebih melegakan. Jika belum rasa, buat lagi. Menangislah semahunya. 

Begitu juga mengaji.. tidak tahu mahu baca surah mana, ayat mana. Selak saja mana-mana ayat pun. Hayati tafsirnya juga jika boleh. Tujukan semua ayat itu pada diri kita. 

Kelak, bahagia itu akan kita ketemu jua. Kita akan kurang mengeluh. Kita akan mahu ingat yang indah-indah saja. Sungguh... 

Sebenarnya jalan keluar dari masalah adalah semudah itu. Tidak perlu sampai terjun dari tempat tinggi. Bukalah hati kita untuk hidayah cinta kasih dari Allah sampai kepada kita.