Bismillahirrahmanirrahim,
Bila membaca diskusi di kalangan sahabat, membaca post dan komen di media sosial berkenaan apa jua bentuk isu, saya rasa saya telah dapat buat satu kesimpulan sekurang-kurangnya untuk diri saya sendiri.
KITA TIDAK BOLEH MEMAKSA ORANG MENJADI POSITIF ATAS SESUATU PERKARA, SEBAGAIMANA ORANG TIDAK DAPAT MEMAKSA KITA MENJADI NEGATIF PULA PADA PERKARA YANG SAMA.
Contoh :
1. Suami yang yakin, isterinya boleh dimadukan sedang isteri tak rasa dia boleh hidup bermadu.
2. Seorang sahabat yang rasa sahabatnya boleh berhenti merokok atau diet sehingga dapat berat badan seimbang semula tapi orang tu sendiri tak yakin dia boleh berhenti merokok dan kurus.
3. Sesetengah netizen menganggap kemunculan Siti Kasim sebagai ancaman tapi setengah yang lain tak rasa pun orang seperti itu perlu dilayan.
4. Begitu juga dalam isu pihak dari agama lain menuntut kesamarataan agama dalam Malaysia ni, ada yang mahu isu ini difikirkan secara serius sehingga kalau boleh tak ada lagi permohonan begini datang dari pihak itu, tapi sesetengah yang lain menganggap tuntutan itu sebagai hak kebebasan bersuara dan tidak bimbang kerana agama Islam di negara kita dijamin oleh perlembagaan.
Saya jadi bermenung juga, kerana dahulu, semasa saya bukanlah orang yang optimis, sahabat-sahabat yang sayangkan saya selalu memperingatkan saya kepada ayat, “Allah menurut sangkaan hamba-Nya”. Kata mereka, kita adalah apa yang kita fikir.
Bila saya memahami nasihat mereka ini, lama-lama saya jadi takut untuk berfikiran negatif. Hehe... kecuali part poligami 😂. Jika nak bicara bab ini, rasanya kena buka topik lain kahkah... ia seperti kenapa sesetengah orang rasa Najib tu bagai khalifah dan tidak pernah salah, tapi ramai juga yang kata Najib adalah kleptokrat dan tak akan berubah!
Saya takut menjadi negatif kerana saya sudah mula memahami sifat Allah yang ar Rahman ar Rahim. Tambahan pula, bila membaca kepada hadis dan ayat yang berkaitan. Apa yang saya faham adalah, jika kita yakin doa kita akan dikabulkan, maka Allah akan mudah mengabulkan. Berbeza keadaannya, jika seseorang itu dari awal lagi, sudah berputus asa dan berburuk sangka terhadap Allah.
Dari Abu Hurairah radliyallaahu ‘anhu, ia berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, Allah سبحانه وتعالى berfirman,
أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى
“Aku sesuai dengan persangkaan hamba pada-Ku.” (Muttafaqun ‘alaih).
.
Hadis ini mengajarkan bagaimana seorang muslim harus husnuzon pada Allah سبحانه وتعالى dan mempunyai sikap berharap pada-Nya.
Ini saya salin huraian makna hadis ini....
Mengenai makna hadits di atas, Al Qodhi ‘Iyadh berkata, “Sebahagian ulama mengatakan bahawa maknanya adalah :
1. Allah akan memberi keampunan jika hamba meminta keampunan. Allah akan menerima taubat jika hamba bertaubat.
2. Allah akan mengabulkan doa jika hamba meminta.
3. Allah akan beri kecukupan jika hamba meminta kecukupan.
4. Ulama lain berkata maknanya adalah berharap pada Allah dan meminta ampunan-Nya.”
(Syarh Muslim, 17 : 2).
Inilah bentuk husnuzon atau berprasangka baik pada Allah yang diajarkan pada seorang muslim.
Jabir berkata bahawa ia pernah mendengar sabda Rasulullah ﷺtiga hari sebelum Baginda wafat :
لاَ يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ بِاللَّهِ الظَّنَّ
“Janganlah salah seorang di antara kamu mati melainkan ia harus berhusnuzon pada Allah سبحانه وتعالى.”
(Hadis Riwayat Muslim no . 2877) .
Husnuzon pada Allah سبحانه وتعالى, itulah yang diajarkan pada kita dalam doa. Ketika kita berdoa pada Allah سبحانه وتعالى kita harus yakin bahawa doa kita akan dikabulkan dengan tetap melakukan sebab terkabulnya doa dan menjauhi pelbagai perkara yang menghalang terkabulnya doa. Kerana ingatlah bahawa doa itu begitu ampuh jika seseorang berhusnuzon pada Allah سبحانه وتعالى.
Allah سبحانه وتعالى berfirman,
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
“Dan Tuhanmu berfirman : “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu.”
(Surah Ghofir / Al Mu’min : 60)
.
Firman Allah سبحانه وتعالى lagi,
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
(Surah Al Baqarah : 186)
.
Dari Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ bersabda,
لَيْسَ شَيْءٌ أَكْرَمَ عَلَى اللَّهِ تَعَالَى مِنَ الدُّعَاءِ
“Tidak ada sesuatu yang lebih besar pengaruhnya di sisi Allah سبحانه وتعالى selain doa.”
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi no.3370, Ibnu Majah no.3829, dan Ahmad 2 : 362, hasan)
.
Jika seseorang berdoa dalam keadaan yakin doanya akan terkabul, Rasulullah ﷺ bersabda,
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan, dan ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai.”
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi no.3479, hasan)
.
Jika doa tak kunjung terkabul, maka yakinlah bahawa ada sesuatu yang terbaik disebaliknya. Dari Abu Sa’id, Rasulullah ﷺ bersabda,
ما مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلاَ قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلاَّ أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلاَثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِى الآخِرَةِ وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا. قَالُوا إِذاً نُكْثِرُ. قَالَ اللَّهُ أَكْثَرُ
“Tidaklah seorang muslim memanjatkan doa pada Allah selama tidak mengandungi dosa dan memutuskan silaturahmi (antara kerabat) melainkan Allah سبحانه وتعالى akan beri padanya tiga hal: (1) Allah سبحانه وتعالى akan segera mengabulkan doanya, (2) Allah akan menyimpannya baginya di akhirat kelak, dan (3) Allah سبحانه وتعالى akan menghindarkan darinya kejelekan yang semisal.” Para sahabat lantas mengatakan.” Kalau begitu kami akan memperbanyak berdoa.” Rasulullah ﷺ lantas berkata.” Allah سبحانه وتعالى nanti yang memperbanyak mengabulkan doa-doa kalian.”
(Hadis Riwayat Ahmad 3 : 18, sanad jayyid) .
Ibnu Rajab dalam Jaami’ul ‘ Ulum wal Hikam berkata,
فالإلحاحُ بالدعاء بالمغفرة مع رجاء الله تعالى موجبٌ للمغفرة
“Terus meminta dengan doa dan memohon keampunan Allah سبحانه وتعالى disertai rasa penuh harap pada-Nya, adalah jalan mudah mendapatkan maghfiroh (pengampunan-Nya).”
Maka, bagi saya, tiada masalah jika kita terus yakin pada janji Allah سبحانه وتعالى, husnuzonlah pada-Nya. Janganlah berprasangka kecuali yang baik pada Allah سبحانه وتعالى. Dan jangan putus asa dari rahmat Allah سبحانه وتعالى dan teruslah berdoa serta memohon pada-Nya.
Lalu, saya terfikir pula, dimana su’uzon(sangka buruk/berfikiran negatif tanpa bukti) diperbolehkan? Tak pasal-pasal pula jadi panjang post ni 😅😅..tapi itulah kecantikan Islam. Su’uzon pun ada hujahnya di dalam Islam.
Firman Allah سبحانه وتعالى :
وَٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَٰتِ بِغَيْرِ مَا ٱكْتَسَبُوا۟ فَقَدِ ٱحْتَمَلُوا۟ بُهْتَٰنًۭا وَإِثْمًۭا مُّبِينًۭا
“Dan orang-orang yang mengganggu dan menyakiti orang-orang mukmin lelaki dan perempuan yang beriman, dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat atau sesuatu kesalahan yang tidak dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata.”
(Surah Al-Ahzab, 33; Ayat 58)
Firman Allah سبحانه وتعالى :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah dari banyak berprasangka; Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Al-Hujurat, 49; Ayat 12)
Kenapa Islam larang umatnya bersangka buruk sesama Muslim (berdasarkan dua ayat di atas) :
1. Sangka buruk akan mengundang malapetaka kerana setiap syak mestilah berdasarkan bukti yang kukuh bukan sekadar dengar cakap, tuduhan melulu dan fitnah.
2. Sebahagian prasangka adalah dosa, ia wajib bertaubat dan beristighfar jika tidak mahu dicampak ke neraka oleh Allah.
3. Orang yang su’uzon sama dosanya seperti memakan daging saudaranya yang telah mati.
Akibat Bersangka Buruk
1. Masyarakat berpecah-belah.
2. Merosakkan jiwa.
3. Meninggalkan titik-titik hitam pada hati.
4. Sentiasa sakit hati dan kecewa atas kejayaan orang lain.
5. Menyebabkan perasaan benci, geram dan dendam meskipun sangkaan itu belum terbukti benar.
6. Mengeruhkan hubungan persahabatan dan persaudaraan.
7. Menyebabkan penyesalan dalam hubungan sesama manusia.
Bagaimana pula kita mahu mengubah sikap bersangka buruk ini?
Tak lain tak bukan adalah dengan mendidik diri supaya mengubah corak fikiran kita dalam menghadapi sesuatu. Bila memahami semua ayat di atas, kita akan tahu apabila kita menyangka baik terhadap orang lain, jika sangkaan itu salah maka kita tetap dapat pahala kebaikan. Bertolak dari sikap su’uzon ini juga kita sering terjerumus ke dalam kancah mengumpat atau mengata keburukan orang lain.
Berikut adalah tips mengelakkan su’uzon (buruk sangka):
1. Sentiasa memberi penghargaan pada orang lain
2. Sentiasa mahu belajar dari orang lain
3. Perbanyak ilmu; Ilmu agama, social, dsb.
4. Banyak bergaul dengan pelbagai peringkat orang
5. Terbuka, tidak suka menyembunyikan sesuatu / masalah
6. Berusahalah sentiasa mengamalkan sikap berfikiran positif
7. Yakinlah bahawa kita mampu menjadi lebih baik dari orang lain
8. Perbanyak kegiatan kemasyarakatan, jangan suka membuang masa dan perbuatan sia-sia.
9. Husnuzon; baik sangka pada orang lain dan kepada Allah سبحانه وتعالى.
10. Mensyukuri apa yang kita terima selama ini sebagai anugerah dari Allah سبحانه وتعالى.
11. Jangan sesekali berfikiran negatif kepada sesuatu yang belum kita tahu kebenarannya.
12. Jangan menelan mentah mentah cerita yang kita terima dari orang lain.
13. Selidik dulu berita yang kita terima itu benar atau tidak sebelum kita cerita semula kepada orang lain.
14. Milikilah prinsip bahawa sifat iri hati dan dengki terhadap kemajuaan / kejayaan orang lain merugikan diri, keluarga, komuniti dan Negara kita sendiri.
Sangka Buruk Yang Harus
Bukanlah tiada sangka buruk yang harus. Sangka buruk yang harus itulah yang kita sebut sebagai waspada.
Contoh :
Nampak orang terhendap-hendap rumah kita, mustahil kita mahu biarkan sahaja?
Bila anak kita mahu suka main game, tengok TV, lepak sana-sini, adakah kita dengan mudah nak sangka baik yang dia akan berjaya kelak tanpa beri bantuan kepadanya?
Pokok besar yang tumbuh condong ke rumah kita, adakah mahu bersangka baik dia tak akan tumbang ke rumah kita?
Justeru, saya tak pelik, jika ada sahabat saya yang waspada dengan tuntutan bukan Islam mahu kesamarataan dalam agama di Malaysia, namun, saya tak faham kenapa parti lain pula dilibatkan bagai bersekongkol terus dalam tuntutan itu.
Wah, dah panjang bebeno saya tulis. Saya tulis sebab saya nak mencari, apakah jalan fikir saya ni masih ok atau tidak.
Kebetulan, dalam http://shafiqolbu.wordpress.com, penulisnya dah himpunkan hujah dan dalil yang saya perlukan untuk diri saya. Mungkin yang turut membaca ini mahu membantu saya juga?