Sunday, March 31, 2013

Usahakan Bahagia

Di dalam Surah AnNur 24 :26, Allah telah berfirman, lelaki yg baik utk perempuan yg baik. Begitu juga sebaliknya perempuan yang baik untuk lelaki yang baik juga.

Bermula bahtera rumahtangga selalunya terasa bahagia. Selang beberapa tahun, pahitnya mula terasa. Tika itu, mula kita berfikir pula. Kenapa episod duka itu harus ada? Pertama sekali ingatlah bahawa Allah sangat mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Usahlah berburuk sangka dengan takdir Allah.

Permulaan yang baik tidak menjanjikan pengakhiran yang serupa. Barangkali, kita telah berpaling dari ajaran Allah maka jiwa kita menjadi goyah. Atau mungkin pasangan kita yang mula leka. Malah, boleh jadi juga kedua kita telah berpaling dari jalan Allah.

Itu bukan pengakhiran. Masih banyak peluang yang Allah beri buat kita untuk mengkoreksi diri. Janganlah berputus asa untuk terus memenangi semula hati pasangan kita. Pertama kita mesti optimis. Yakin bahawa bahagia akan datang juga nantinya.

Bila duka datang bertandang, mulakanlah dengan muhasabah diri.
1. Periksa semula amalan apakah yang telah berkurang. Perbaiki semula amalan itu.
2. Periksa semula amalan apakah yang tidak pernah dilakukan. Cuba untuk amalkannya semula.
3. Periksa semula punca kedinginan rumahtangga, rawat puncanya itu.
4. Periksa semula apa yang masih belum dilakukan dalam membina bahagia, lakukan perkara itu.
Kenapa? Kita perlu tunjuk kepada pasangan bahawa tempat dia di dalam hati adalah selepas Allah. Bukan terdahulu dari Allah. 

Maka jika dia benar tidak buta hatinya, maka dia akan berubah juga. Hatinya, hati kita adalah tertakluk kepada pindaan Allah. Kita sendiri tiada daya untuk mengubahnya.

Bila kita lakukan semua ini kerana Allah, maka kita tidak kisah lagi andai saja pasangan kita tidak peduli. Malah pasangan kita itu akan semakin terasa terhimpit andai dia tidak mahu kembali kepada Tuhannya. Bila cinta Allah menaungi diri kita, insya Allah cinta sesama kita dan pasangan akan lebih terasa indahnya.

Jadi, sebelum berjumpa keindahan itu, berusahalah tanpa putus asa. Semoga ada jalan keluar darinya. Aamiin.

Ya Allah jadikanlah hambaMu ini mencintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku. 

Saturday, March 30, 2013

Anakku, Umi Cemburu

Esok bermulalah semula persekolahan anak-anak. Tidak seperti cuti yang sebelum-sebelum ini, kali ini kami hanya bercuti di rumah. Semua anak-anak, umi dan abah sedang beradaptasi dengan kehadiran Ahmadan. Namun kami tidak sunyi, ramai tetamu datang silih berganti.

Alhamdulillah, anak-anak sudi menghulur tangan membantu umi dan abah mempersiapkan rumah. Abah juga turun padang kali ni membantu umi menyelesaikan banyak perkara sementara umi kembali sihat. Syukur kepada Allah kerana menganugerahkan kalian. Terkadang terdengar bunyi juga dari anak-anak, tapi umi tidak menyimpan sakit di dalam hati. Umi sangat memahami, anak-anak masih kecil. Masih perlu melalui proses tarbiah dari kami.

Cuti ini, anak-anak isi dengan beraktiviti sesama sendiri. Umi tidak memberi jadual kepada anak-anak. Maka anak-anak boleh buat apa saja yang mereka ingin buat namun mereka tidak kami biarkan melepasi pagar rumah melainkan bersama kami.

Kebebasan kalian sangat membuatkan umi cemburu. Umi sangat resah melihat kalian bermain game. Umi bimbang game membuatkan anak-anak berebut sesama sendiri. Umi bimbang amanah masa yang diberi Allah kalian gunakan di tempat yang tidak patut. Tambahan pula, umi bagai tidak terlihat kebaikan di sebalik game yang kalian main.

Umi sangat cemburu bila melihat kalian berlengah-lengah tidak mengisi masa. Bukankah banyak majalah, buku latihan, permainan edukatif yang umi beli buat kalian isi masa kalian? Maksu juga baru belikan pensil warna untuk kalian. Kenapa tidak dimanfaatkan sebaiknya?

Aduh, mujur juga cuti hanya seminggu. Tidak sempat berdarah hati umi ini lantaran cemburu. Maka, umi pohon maaf jika umi mengarah-arah memaksa-maksa anak melakukan sesuatu. Umi lakukannya kerana umi cemburu. Cemburu umi membawa makna sayang. Semoga cemburu umi ini berada di dalam linkungan cemburu yang dibolehkan. Aameen

Friday, March 29, 2013

Peliharalah Dirimu dan Keluargamu

Bismillah,

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan. -At Tahrim 66:6

Mata beralih dari melihat tafsiran ayat ini kepada anakanda bertujuh. Dari memandang anakanda bertujuh kepada ayat ini semula. Allah, berat sekali tanggungjawab yang Engkau berikan. Namun selalu diri ini menanam yakin bahawa Allah tidak zalim. Allah akan beri ujian, nikmat, dugaan, kesenangan malah semua takdir sesuai dengan apa yang boleh kita tanggung.

Sekalipun berat, tanamlah yakin bahawa kita boleh melaluinya. Dalam ayat itu tertulis permulaannya kita patut menjaga diri kita dahulu kemudian ahli keluarga kita. Ya, mana mungkin kita mendidik yang lain sebelum mendidik diri.

Cintailah kebaikan biar sekecilmanapun kebaikan itu. Sekalipun dengan segaris senyuman. Bencilah kejahatan biar sekecilmanapun kejahatan itu, kerana dari satu kejahatan kecil, kita telah melanggar fitrah cinta pada kebaikan yang telah Allah Subhanahu Wa Taala anugerahkan kepada kita.

Semoga dengan kebaikan kecil itu, maka banyak lagi usaha kepada kebaikan dilakukan. Seterusnya, dapatlah kita raih tangan anakanda dan pasangan penuh kasih dan membina jalan menuju redha Ilahi. Semoga kita tidak menjadi bahan bakar api neraka. 

Thursday, March 28, 2013

Usrah Whatsapp dan Whatsappitis Syndrome

Bismillah, Lama. Memang sangat lama masa yang saya ambil untuk update blog yang saya kasihi ni. Selepas berpindah ke kawasan bukit ni, terpaksalah saya menamatkan riwayat broadband kami dan bergantung hanya kpd telefon semata2. Alhamdulillah, dalam masa ketiadaan line itulah saya boleh menyiapkan ebook Masak Dari Hati saya itu. Sekarang saya juga berpeluang semula untuk menulis menggunakan hadiah dari sahabat saya sejak zaman matrik lagi. Bagi mereka yang ada fb dan menjadi kawan saya, pasti ada yang perasan istilah usrah whatsapp yg selalu saya sebutkan ini. Apa yang saya ingin kongsi adalah kesan bila kita saling ingat mengingatkan sesama sendiri. Sebelum ini, telah lama juga saya lupa untuk cuba solat sunat, baca alkahfi di hari Jumaat, baca almathurat di pagi dan petang malah tidur di siang hari tidak diniatkan sbg qailulah. Tetapi alhamdulillah hadirnya sahabat2 ini maka keseronokan beribadah menjadi berganda. Rupanya dicelah kesibukan menjalani kehidupan, masih ada byk masa utk melakukan ibadah sunat. Rupanya, diri sendiri saja tidak cukup kuat. Itu tidak dikira dengan seronok mendengar khabar sahabat sekolah rendah, menengah (alamak, xde grup taayah lagik!) dan ukm. Terasa seolah2 baru saja keluar dr institusi berkenaan. Memang sangat menyeronokkan. Cuma, satu pesan buat diri sendiri, jangan terlalu leka dengan whatsapp, facebook dan sebagainya sehingga kebajikan ahli keluarga kita terabai. Syndrome Whatsappitis ini sesungguhnya boleh berjangkit dan boleh memberi luka kepada mereka yg tersayang. Maka gunalah teknologi ini sebaiknya dan janganlah sehingga kita menjadi orang yang lalai