Thursday, April 05, 2012

Keutamaan Berbuat Baik Kepada Keluarga Sendiri

Bismillah,

Beberapa hari lepas, dalam mailing list yang saya terima, ada seseorang yang mengadu dia menjaga anak saudaranya yang yatim piatu. Abang dan kakaknya meninggal dunia akibat kemalangan. Mereka ada adik beradik yang lain dan baru-baru ini dia rasa ralat kerana terdengar adik beradiknya yang lain itu memberi bantuan kewangan kepada rumah anak yatim sedangkan anak saudara sendiri tidak ditolong.

Tiba-tiba saya teringat kepada satu hadis Rasulullah SAW :
Rasulullah SAW berpesan: "Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya". (riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
Kenapa kita kena utamakan keluarga dan orang terdekat semasa memberi pertolongan? Cuba bayangkan bila kita di dalam kesusahan, siapa orang terdekat untuk kita minta pertolongan. Ya-ya... saya tidak menafikan ALLAH tempat pergantungan paling utama, paling class! Tapi bukankah terdetik kenapa orang sekian-sekian yang ada banyak kemampuan, tidak menolong kita?

Mengakulah dikala mendapat kesenangan kita selalu lupakan mereka yang kesusahan. Manusia tidak tahu dikala kesenangan juga mereka sedang diuji terutamanya dalam hal ehwal kewangan. Tambah menakutkan, kita tidak pernah merasa bagaimana rasanya susah jadi memang kita tak akan tahu apa yang orang susah itu rasa kecuali kita menghampiri mereka dan bertanya khabar.

Sekalipun kita menghulur duit, saya rasa itu pun belum memadai. Kita patut dengar kisah mereka. Bukan menggalakkan mereka mengeluh tentang keadaan mereka tetapi kita mestilah rasa apa yang mereka rasa barulah kita tahu sebenarnya nilai yang kita beri itu sebenarnya adalah sangat kecil untuk dibangga-banggakan.

Andai pula kita berada di tempat susah, sudah-sudahlah berharap kepada manusia. Mereka tidak ada apa-apa kerana pemilik kekayaan adalah ALLAH SWT. Terasa hendak mengeluh, jangan cari manusia dahulu. Insya ALLAH, ALLAH akan menghantar bantuan dengan cara yang kita tidak sangkakan malah mungkin dari orang yang tidak kita kenali.

Tuesday, April 03, 2012

Terlupa Ambil Anak Di Sekolah

Bismillah,

Saya menulis entry ini di hari Ahad :) Hari di mana jantung saya bagaikan berhenti. Petang tadi, seperti biasa suami saya akan berehat seketika (tidur) antara 3-5 petang sebelum mula mengerjakan itik-itiknya semula. Usamah akan ke tuisyen 3.30-4.30 petang dan selepas ambil Usamah, kena ambil kakaknya pula yang ada kelas KAFA. Selalunya bila suami berehat, saya akan menghantar dan mengambil anak-anak.

Kebetulan 4.15 petang seorang sahabat suami datang untuk bertanya khabar. Dia pulang bila jam hampir 4.30 petang. Jadi, saya minta suami ambilkan anak-anak. Semasa hendak keluar, dia minta ambilkan kopiahnya. Ntah kenapa saya rasa semacam masa dia minta kopiah tu tapi tak tau apa yang tak sedap sangat di hati ni sedangkan selalunya dia pasti ke masjid. Sambil menunggu Asar, saya pun berbaring sekejap sambil menyusukan Iman dan macam biasa terlena.

Selepas tersedar, saya terus teringat Asmaa'. Saya dengar suara Usamah tetapi tak dengar suara Asmaa'. Terus rasa jantung berhenti. Bila saya kecoh mencari Asmaa', barulah ternampak suami saya terkocoh-kacah berlari ke kereta semula. Masa tu, tak boleh diceritakan betapa seramnya rasa sebab jam pun dah hampir 5.30 petang.

Saya terus berdiri depan pintu. Uwaiys menegur, "Umi, kenapa muka umi macam muka orang kesian?". Anak-anak yang lain ketawa-ketawa kakak mereka tertinggal dan saya marah. Saya betul-betul bimbang masa tu.Tak pernah lagi rasanya risaukan mereka ketahap itu. Kalau boleh, saya tak mahu dengar apa saja bunyi.

Masa berlalu, serasa lambat sekali suami saya tiba sedangkan tadi dia memecut sehingga terpancut pasir kerana lonjakan tayar kereta. Saya pun mengambil wudhu dan kemudian menelefon suami dan makcik voicemail yang angkat. Makin bertambah saspen dibuatnya. Rasa bersalah sangat merebahkan diri jam itu tadi.

Tak lama selepas tu, suami menelefon semula dan bila saya tanya Asmaa' macam mana, katanya ada dan alhamdulillah ada latihan nasyid di sekolahnya. ALLAH... saya terus menuju sejadah dan bersyukur dengan rahmat kasih sayang ALLAH yang telah memelihara Asmaa' bila dia jauh di mata saya. Betapa ALLAH memberi peluang supaya saya dapat memperbaiki lagi kesilapan saya.

Seeloknya Asmaa' sampai, saya tengok Asmaa' atas ke bawah. No words can describe. Saya soal apa kakak buat semasa menunggu dan dia pun mula bercerita. Alhamdulillah, ada baiknya juga bersekolah di sekolah perempuan semua. Selamat untuk Asmaa'.

Saya sangat percaya naluri yang ALLAH berikan. Silapnya, semasa saya rasa tidak sedap tadi, saya tidak berfikir apa yang tidak saya sedapkan. Sepatutnya saya terfikir, kalau abah mereka nak ke masjid, dimana pula Asmaa' hendak menunggu. Kesian incik suami terkejut-kejut rehatnya hari ini dengan kejutan tadi. Ampun yepp kandeku yang cantik!