Monday, January 09, 2012

Sesuatu Yang Perlu Dilepaskan

Bismillah,

Sungguh tidak tertanggung lagi, saya dengan nekadnya menulis gelisah hati saya. Sebelum kalian terus membaca apa yang terkandung di dalamnya, saya pohon kalian baca dengan minda yang terbuka. Ambil kisah saya ini sebagai satu batu sempadan agar anda tahu yang mana lopak supaya anda tidak terjatuh bersama dengan saya. Ambil juga kisah saya ini sebagai pengajaran bahawasanya kita tidak pernah malang seperti orang lain.

Sesiapa yang berkawan dengan saya di Facebook pasti telah mengetahui yang saya sedang berdukalara. Ia adalah akibat dari tangan saya sendiri. Sayalah yang membuat keputusan untuk menggunakan sistem mentor-mentee, sayalah yang membuat keputusan untuk membuat permohonan pinjaman, saya jugalah yang melibatkan dua penjamin saya yang terlibat sama dalam masalah ini.

Suami saya pernah menasihat saya, kedai tidak perlu sebesar itu, alatan boleh dibeli dengan harga jauh lebih murah, renovasi, dia boleh buat sendiri tetapi semua itu tidak dapat kami lakukan kerana telah bersetuju dengan sistem yang saya sebutkan tadi. Saya sangat berharap semoga ada kesannya sistem itu kepada jualan saya nanti.

Sehingga kini, alhamdulillah, perniagaan ini bertahan tetapi yang tidak tahannya adalah hutang yang tidak dapat dilangsaikan dengan baik. Jualan yang terhad telah menyebabkan tunggakan terkumpul sedikit demi sedikit. Saya hanya dapat memberi komitmen untuk membuat bayaran RM 1-2K sebulan. Sedangkan saya perlu bayar lebih dari itu. Mujur jugalah saya tiada masalah dengan supplier, urusan dengan KWSP Perkeso, staff, sewa dapat diselesaikan dengan baik.

Seawal perniagaan juga, saya telah membuat tempahan yang diluar kawalan. Silap saya kerana tidak menunggu sehingga bil ke atas kami keluar sehingga tiba-tiba saya perasan bahawasanya saya telah membuat order lebih dari wang yang di dalam tangan saya. Ya, banyak sekali silap saya sehingga saya menanggung akibat ini sekarang.

Selepas dari itu, saya berfikir untuk membelakangkan diri saya supaya dapat membayar urusan-urusan kedai. Semakin saya kurangkan bahagian saya, semakin kering poket kami. Sehingga akhirnya saya berhutang dengan kawan-kawan juga untuk membolehkan kami hidup. Alhamdulillah, ALLAH memberikan kami kawan-kawan dan sanak saudara yang sangat memahami.

Lama kami alpa tidak membayar hutang dengan disiplin. Sehingga akibatnya baru sekarang dua penjamin saya menanggung akibat hasil dari ketidakdisiplinan saya itu. Saya berasa sangat serba salah kerana mereka menanggung sakit akibat saya.

Hari makin hari, keadaan semakin membaik. Perniagaan kami juga. Saya telah berjaya membayar hutang-hutang dengan kawan-kawan. Kepuasannya tidak dapat saya bayangkan. Malah semenjak tahun baru ini, saya telah berjaya membayar hutang kepada 3-4 orang sahabat. Tetapi itu adalah hutang yang tidak ada perjanjian bersamanya. Sekalipun puas itu ada, semua itu tenggelam apabila menerima surat bakal disenaraihitamkan oeh MARA.

Saya tidak kisah pun, bukan kerana tidak kisah dengan nama saya disenarai hitam itu.. tetapi saya tahu kemampuan saya hanya disitu. Saya boleh menerima padah akibat dari perbuatan tangan saya sendiri. Tetapi apa salah dua penjamin saya sehingga disebabkan saya, mereka terseret sama?

Saya bertanya kepada suami saya, apakah kesilapan kami sehingga kami terpaksa menanggung beban ini. Suami saya menjawab mudah di dalam mesejnya, "Semua ni dah ALLAH atur. Kalau tak jadi macam ni, kita tak akan miliki jiwa sekental sekarang." ALLAH... begitu sekalikah mahalnya yang kami harus bayar untuk memahami nilai sabar?

Masalah sebenarnya akan menjadi masalah kerana kita tidak melihat masalah sebagai ujian ALLAH. ALLAH sedang menguji saya. Sekalipun ALLAH uji, masih banyak nikmatNya yang Dia beri. Kami masih dapat makan malah mewah pula makanan kami. Pohon markisa yang menyubur, itik2 yang andai sahaja tiada apa yang boleh kami makan maka merekalah rezeki kami. Ikan pula, telah lama kami tidak beli kerana setiap kali memesan makanan itik (ikan baja 70 sen se kg) itu terselit dicelahnya ikan2 yang sangat segar malah terkadang ketam yang terselit sama masih hidup juga.

Susah sebenarnya hendak mencungkil hikmah di sebalik ujian ini. Seperti yang suami saya katakan tadi, ALLAH sedang mahu menjadikan kami lebih tabah dari yang sebelumnya. Itu sebenarnya adalah kata penyedap barangkali  tetapi sebenarnya ia adalah kenyataan. Kawan saya ada memberitahu, ada kes yang lebih teruk dari masalah saya. Bermaksud, saya tidak seteruk mana dan saya patut bersyukur untuk itu.

Barangkali juga ALLAH telah menghantarkan tanda supaya kami lebih meminta-minta kepadaNya. Benar sekali, sedih hati saya diadukan kepada Pencipta. Saya terasa benar2 dapat menumpang manja kerana dengan orang lain saya tidak dapat berbuat sebegitu. Setelah mengadu, luasnya rasa dunia. Malah, saya masih mampu bergurau senda dengan anak2 dan suami. Kawan2 dan staff yang telefon bertanya khabar pun ada yang kata suara saya masih OK sedangkan hati di dalam ini ALLAH sahajalah yang tahu bagaimana terhenyaknya dia.

ALLAH juga telah menjadikan ujian ini barangkali untuk menjadikan saya berusaha melawan hawa nafsu dan sifat hati yang negatif. Saya terpaksa melupakan katil dengan bertahun-tahun tidur berlapik toto. Saya melupakan untuk membeli kereta baru dengan mengurangkan berjalan jauh dan memilih menaiki bas dengan anak yang ramai.

Saya cuba berjimat dengan masak sendiri yang mana kesan dari memasak itu sendiri memberi impak besar kepada kami. Susah saya nak cerita kepada kalian, bagaimana memasak sendiri dan makan bersama itu sangat memberi kesan besar kepada kami. Malah banyak lagi yang terpaksa kami lakukan secara berpada-pada supaya tidak melakukan pembaziran dan tidak menzalimi mereka yang memberi hutang kepada kami.

Saya tidak meminta apa2 dengan tulisan saya ini. Saya hanya mahukan doa... Kata-kata semangat itu boleh juga tetapi saya tidak dapat membacanya memandangkan sekarang komputer tidak lagi menjadi keutamaan saya. Yang pentingnya, doa kalian. Doa supaya saya dapat menyelesaikan masalah ini. Setelah apa yang saya lalui ini, saya tidak lagi mahu hidup kaya tetapi saya mahu hidup dengan tiada hutang.

 Kalian, sekiranya kalian ada masalah..ingatlah sentiasa ada mereka yang lebih teruk masalahnya dari kita. Beli majalah Anis dan SOLUSI terbaru. Ia sangat membantu untuk menguruskan stress. Setelah saya membaca ms 16-17 majalah Anis itu, barulah saya memahami bahawa dugaan yang ALLAH beri ni adalah tanda kasih dan cintaNya (Al-ankabut :2). Dia tidak sekadar memberi ujian dan dugaan tetapi dia telah turunkan penyelesaian bersamanya (An-Nasr : 6).

Kalian, doakan saya ya.....

*Blogging terpaksa saya tangguhkan memandangkan komputer saya terrosak pulak.
*Korang jangan bimbang dan risaukan saya (ceh perasan!), saya masih cool, nangis sikit2 tu biasalah
*Doakan juga semoga dua penjamin saya tenang, saya akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk membawa mereka keluar dari masalah ini.
*Kepada mereka yang ada cara untuk saya mengatasi masalah ini, bgtau saya di FB boleh? Sbb saya masih boleh buka FB lagi dengan tepon C3 saya.

Doakan ya...

14 comments:

  1. semoga Allah memudahkan segala urusan kak pija sekeluarga. teruslah kuat dan sabar! insyaAllah ada gnjaran berganda menanti insyaAllah!

    ReplyDelete
  2. semoga segalanya dipermudahkan, insyaallah

    kerana Allah tidak pernah menzalimi hambaNya kan :-)

    ReplyDelete
  3. semoga kak pija dan family tabah menghadapi ujian ini. Allah sayangkan kak pija, sbb tu dia bg ujian yg kak pija mampu tanggung.

    ReplyDelete
  4. insyallah ada jln keluar nanti Pijah. mungkin mulo2 tok napok.

    ReplyDelete
  5. insyaallah semuanya akan selesai dengan baik.. win-win situation. teruskan bermanja dengan MAHA PENCIPTA.. (ingatan untuk diri eden juga :))

    ReplyDelete
  6. mudah2an akk bertemu jln keluar dan tak mustahil Allah turunkan pelangsai hutang yg kita xtahu dr mana... sy pernah tengok seseorg ni langsai hutang skeelip mata dgn dtgnya seorg hamba Allah ni .. ;)

    ReplyDelete
  7. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  8. assalamualaikum,

    saya cadangkan you refer to AKPK. try google. nie utk mengelakkan you n penjamin kena black list..khidmat kaunselor diaorg FOC. sgt membantu penghutang n penjamin. badan nie ditubuhkan oleh bank negara.

    ReplyDelete
  9. "*Blogging terpaksa saya tangguhkan memandangkan komputer saya terrosak pulak."

    tetiba terasa hiba pulak.. teringat projek mega yg pija usahakan utk kakyong dulu...

    apa2 pun kakyong doakan pija & keluarga sejahtera selalu.. hidup sebenarnya memang lebih tenang bila kita dpt mengurangkan hutang..

    ReplyDelete
  10. setuju dengan komen dari farah...

    refer kepada AKPK, mungkin ada jalan penyelesaian...

    Saya doakan moga akak dapat keluar dari masalah ini nanti...

    ReplyDelete
  11. Yes,refer ke AKPK,mmg byk membantu.ia bdn kerajaan bebas.

    ReplyDelete
  12. semoga dipermudahkan Allah urusan akak sekeluarga.

    ReplyDelete
  13. saya doakan semoga semuanya dipermudahkan segala kesulitan, diberi jalan keluar dan akak sekeluarga diberikan rezeki yang banyak..

    ReplyDelete
  14. Salam Pija,

    kakyong telah pun mndapat maklumbalas dr pihak AKPK

    "
    AGENSI KAUNSELING DAN PENGURUSAN KREDIT (AKPK) Pn Habibah, AKPK tidak dapat membantu untuk kes-kes pinjaman dari agensi kerajaan tetapi penyedia perkhidmatan kewangan yang terdiri daripada semua bank perdagangan, semua bank Islam, semua syarikat insurans, semua pengendali takaful, institusi kewangan pembangunan (dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia) dan pengeluar kad kredit/caj (dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia). "

    jalan terbaik, pija berbincang & tulis surat kpd peg yg terbabit & mohon penstrukturan semula bayaran ansuran bulanan.

    ReplyDelete

Please Leave A Cool Message For Me ;) Peace!!!