Thursday, July 04, 2013

Kehidupan Dunia Hanyalah Sedikit

Saya menyelak buku nota saya. Ayat seterusnya untuk saya fahami adalah yg berikut :

At-Tawbah:38 - Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.

Sepagi tadi, sambil menggosok uniform sekolah anak, saya mendapat khabaran tentang Presiden Mesir. Lalu saya merasa lemah sendiri. Baca pula coretan isteri Presiden, dan itu menambah rusuh dihati ini.

Selepas itu memandang coretan Sheikh Yusuf AlQardawi bahawa selama 30 tahun Mesir boleh bersabar dengan Mubarak, kenapakah rakyatnya tidak boleh bersabar dengan Mursy yang baru setahun memerintah.

Dikhabarkan oleh adik seorang sahabat di UKM, rakyat tak sabar kerana tidak ada pembangunan fizikal mendadak setahun ini di Mesir. Ya, barangkali banyak masalah lain, tetapi alasan inilah yang disebut disana disini.

Seperti ubat yang masuk ke dalam badan. Pertamanya ia akan memberikan kesan krisis penyembuhan. Itu lumrah sebenarnya. Apabila kerajaan baru memerintah, pertama yang perlu dilakukan mereka adalah membetulkan kesilapan pemimpin terdahulu. Negara akan sakit seketika. Jika tidak sabar, boleh jadi kita akan fed up dengan ubat itu.

Ditambah pula, jiwa yang dahaga dengan kemewahan dan kesenangan dunia. Cuba bacalah tafsiran ayat yang saya beri itu. Allah dah beritahu kita, bahawa KESENANGAN DUNIA HANYA SEDIKIT. Ya SEDIKIT!!! Tapi kita masih terila-gilakan kesenangan yang sedikit.

Saya menangisi rasa cinta saya kepada dunia. Saya masih teringin singki yang selesa untuk bekerja di dapur. Saya masih mahu peti ais di rumah kami penuh dengan stok. Saya juga tidak sabar2 mahu menghabiskan hutang kereta Kelisa sekarang supaya dapat membeli kereta baru yang selesa untuk membawa anakanda bertujuh. Saya masih teringin mendapatkan pakaian baru sedangkan saya hanya duduk di rumah dan hanya akan memakai pakaian itu sekali sekala. Itupun masih banyak pilihan sebenarnya.

Itu hanya sedikit sebenarnya. Sedikit yang sangat sedikit. Tapi saya masih mahukannya. Beberapa hari yang lepas, saya bercerita kepada suami tentang seorang adik alhafiz yang masuk Halaqah Sentuhan Qalbu belajar di Turki.

Lalu suami bertanya, sama ada saya mahu menghantar Usamah ke Syria. Saya bertanya semula, adakah Usamah seorang? Dia menjawab mahu pergi bersama. Tiba2 jiwa perempuan saya berkata, 'nanti balik bukan seorang la tu? Maklumlah awek Syria segak2 tak macam umi'.

Lalu suami menjawab yang bila saya fahami bermaksud, sama ada dia akan balik dan tidak balik (syahid). Itu yang penting. Allah.. Seperti ditepuk dahi ini bilamana suami bercakap tentang perjuangan tetapi saya bercakap tentang dia mahu berpoligami. Keduniaan bukan? Masih bercakap tentang hak disaat perjuangan lebih diperlukan.

Lalu saya meminta untuk ikut sama. Kata suami tak boleh sebab anak2 perlukan saya disini. Lalu saya termenung. Bagaimana keadaannya kami jika benar suami saya berpeluang ke sana?

Jika selama ini saya hanya pandai mencabut bulu ayam, tugas memotong ayam adalah tugas suami. Maklum sahaja, jika yang memotong adalah saya, habis lumat tulang ayam. Itu baru bab ayam, banyak lagi bab yang saya tidak lulus.

Disini, masih sahaja pergantungan saya adalah pada suami. Bukan pada Allah sepenuhnya. Kerana cinta dunia inilah, saya menjadi malas dan lemah (kerana masih ada yang akan buat bila saya tidak buat), saya menjadi insan yang berlengah (kerana sibuk bekerja mengejar duit dan dunia sehingga lupa menunaikan ibadah untuk perbelanjaan dihari akhirat).

Allah, jika diteliti satu persatu, rasa cinta dunia yang keterlaluan ini telah membuatkan diri ini penuh dengan sifat mazmumah. Jadi, saya mengajak diri untuk cuba menjawab soalan di dalam ayat itu, adakah kita lebih suka kehidupan dunia berbanding akhirat?

Comments
0 Comments

0 cool comments:

Post a Comment

Please Leave A Cool Message For Me ;) Peace!!!