Saturday, July 06, 2013

Perlukah Saya Merancang Keluarga?

Semua dari kita tercari-cari kaedah merancang yang selamat untuk diri masing-masing. Setiap bentuk perancang yang boleh didapati dari klinik dan farmasi selalunya mempunyai kesan sampingan. Jangan sangka saya skeptikal dengan kaedah perancang yang sering diamalkan. Jika bertanya lebih detail tentang setiap jenis pil, semuanya ada kesan sampingan.

Saya pula tidaklah merancang untuk menyekat kehamilan dan tidak pula merancang hendak beranak ramai. Hanya follow the flow sahaja. Saya pernah juga terfikir untuk mengambil Noriday. Hanya kerana saya perlukan sesuatu untuk menambah susu badan. Tapi sayang sekali saya tidak berjaya menambah susu badan dengan Noriday pun! Kesan yang saya dapat hanyalah tidak mengandung sahaja.

Memandang anak yang sedia ada yang tidaklah ramaipun sebenarnya, tetapi tetap lebih ramai dengan kawan2 saya itu, membuatkan saya rasa malu sendiri mahu beranak lagi. Ditambah dengan kehidupan yang cukup-muat sahaja menambahkan keinginan saya untuk menjarakkan anak. Namun setelah melihat ayat2 Quran dan hadis seperti di bawah :

*"“Dan tidak ada suatu binatang melata (yang hidup) pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezkinya, dan dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya (rahim). semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh mahfuzh)”. (Hud: 6)"*

Sabda nabi saw:
*"“Kalau kamu berserah kepada Allah dengan tawakal yang sebenarnya tentulah Allah akan mengurniakan rezeki kepada kamu sama seperti Allah yang memberikan rezeki kepada burung yang keluar pada waktu pagi dengan perut yang kosong dan pulang ketika perut yang penuh”."*

Sabda nabi saw:
*"“Sesungguhnya malaikat (Jibril) pernah menyatakan kepadaku bahwa seseorang tidak akan sekali-kali mati melainkan telah sempurna rezeki dan ajalnya. Oleh itu bertakwalah kepada Allah dan elokkanlah dalam doa kamu. Janganlah kamu melakukan kejahatan kepada Allah lantaran rezeki yang lambat dipenuhi dari doamu. Rezeki Allah tidak akan dapat tercapai melainkan dengan melakukan ketaatan kepadaNya”."*

Tiba-tiba saya terkeliru dengan aqidah saya dimana. Sebenarnya apakah yang saya bimbangkan?

- kesihatan? Bukanlah hendak kata saya sihat sangat, tetapi sepanjang sejarah saya mengandung tidaklah pula saya mengalami alahan yang dahsyat, tiada rekod darah tinggi, kencing manis dan hanya satu iaitu hb low. Sekalipun hb low, saya masih boleh meneruskan kehamilan dan tiada rekod pitam, pening kepala berpanjangan dan yang sewaktu dengannya. Alhamdulillah juga, semua anak saya dilahirkan secara normal tanpa sebarang komplikasi.

- masalah tidak sempat menjaga? Adakah saya sedang mengada-adakan alasan dengan mengatakan saya tidak sempat menjaga mereka? Seingat saya dalam seharian saya masih boleh duduk-duduk berehat. Masih ada banyak masa untuk beramah mesra dengan suami. Maksudnya saya masih ada masa untuk bersenang lenang. Jadi, betulkah saya tidak sempat menjaga? Malah Allah telah meringankan tugas saya dengan memberi anak-anak yang tidak cerewet dalam hal ehwal pemakanan, tidak pula sakit, tidak pula ketinggalan dalam pelajaran dan alhamdulillah tidak ada perangai juga. Jadi, betulkah saya tidak sempat menjaga mereka? Betulkah?

- risau tak ada rezeki? Allahuakbar. Ya Allah sesungguhnya aku berlindung dari rasa takut tidak mendapat rezeki darimu sepanjang hayatku ini. Suatu hari, saya duduk mengadap tab (yang juga diberi oleh seorang sahabat kepada saya - rezeki dari Allah juga kan?), terlintas untuk membuat carian perkataan 'rezeki' dalam apps AlQuran dan semenjak itu, saya menanam lebih keyakinan bahawasanya rezeki itu adalah dari Allah dan kita akan selalu mendapatkannya selama mana masih bernyawa. Sungguh, sepanjang perkahwinan dan aktiviti mengandung dan beranak yang bagaikan tidak berpenghujung ini, belum lagi ada antara kami yang mengikat perut kerana lapar. Sekalipun tiada duit di dalam tangan masih lagi dapat menjamah makanan sekadarnya. Asalkan masih ada kudrat untuk berusaha maka saya yakin rezeki itu selalu ada. Percaya dengan tidak, hanya dengan lebih kurang RM 1500-1800 sebulan, cukup untuk kami suami isteri dan 7 anak) menampung keperluan kami dan peliharaan di belakang rumah, malah boleh juga bayar hutang sedikit dari jumlah itu.

- bimbang tidak sempat melayan suami? Saya telah berbicara dengan suami, mata ke mata dan hati ke hati. Katanya, dia amat memahami seandainya saya memberi tumpuan kepada anak di kala mereka memerlukan. Sebenarnya dikebanyakan masa jika sekalipun anak merengek, mereka tidak akan merengek dengan umi, sebab umi garang x macam abah! Huhu.. Alhamdulillah mereka tak banyak ragam. Malah, mereka tidur sendiri dan sangat memahami kenapa umi dan abah tidur berasingan dengan mereka. Selebihnya, kami selalu menyusun masa tidur mereka supaya tidak tidur lewat. Kebiasaannya mereka akan tidur awal. Jadi, sebenarnya pun tiada alasan tidak sempat melayan suami itu melainkan memang malas nak layan.

- bimbang tidak sempat beribadah? Ini juga harus saya insafi diri. Sebenarnya pada kerja seharian yang dilakukan, semuanya adalah pahala. Pahala, pahala dan pahala. Selama mana saya cuba untuk ikhlas, selama mana niat saya betul dan selama mana tidak bertentangan pula dengan kehendak agama maka Allah telah berjanji untuk mengganjarkan pahala. Rugilah saya jika melupakan anak-anak hanya kerana mahu berteleku di atas sejadah sepanjang hari. Menjadi seorang ibu ini adalah lebih baik. Membaca Quran terasa lebih seronok kerana anak yang sedang disusukan juga mendengar. Mengajar alQuran pada anak yang lebih besar juga terasa lebih seronok apabila anak yang kecil tiba-tiba sahaja turut pandai mengaji. Semua kerja yang dilakukan di dalam rumah juga pasti lebih seronok jika pada masa yang sama bibir dibasahi zikir. Ya Allah, berikanlah aku lebih kesabaran.

Lalu apa lagi alasan yang boleh saya fikir untuk mengharuskan saya mengambil perancang? Ada sesetengah orang tidak risau memilih kaedah berkenaan tetapi tidak bagi saya. Allah telah berjanji akan memberi rezeki pada setiap anak yang dilahirkan malah suami saya dengan halus memberitahu bahawa Rasulullah SAW berbangga dengan umatnya yang ramai.

Saya keliru bila suami saya mengatakan, dia memilih saya kerana keturunan itu. Saya lalu bertanya, "Umi tiga beradik je?". Lalu dia beritahu, "Eh umi x ingat mak 7 beradik (dua ibu), abah 6 beradik?".

Apabila ramai zuriat, semakin kukuhlah ummah dan teruslah tertegaknya daulah Islamiah. Membiak zuriat bertambah seri, erat dan bahagianya sebuah rumahtangga di mana wujud ketenangan jiwa hasil kasih sayang antara kedua suami isteri. Rasulullah saw, begitu kuat menekankan supaya setiap lelaki memilih calon isterinya yang ramai anak, sebagaimana sabda baginda: 
"Kahwinlah perempuan-perempuan yang keturunan banyak anak, sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya umatku dihadapan para Nabi pada Hari Kiamat nanti.

" Begitulah penekanan Rasulullah saw ke atas umatnya, baginda bangga dengan umat yang ramai kerana di situlah letaknya kekuatan agama Islam. Lagipula saya sangat risau jika tersalah mengambil pil, sudahnya susah pula lekat selepas berhenti menggunakannya. Bukan seorang dua mengalami masalah ini. Pil tidak memberi janji sebagaimana janji Allah.

Ya, saya faham ada satu lagi alasan iaitu menyusukan anak selama dua tahun. Memang saya akan mengusahakannya dengan bersungguh-sungguh. Selepas mendapat ilmu tentang penyusuan susu ibu, sudah empat anak saya mendapat penyusuan susu ibu secara eksklusif pada enam bulan pertama mereka alhamdulillah. Seandainya ada cara untuk menambah susu, memang saya akan usahakan. Persoalan rezeki anak, itu saya serahkan kepada Allah.

Saya tidak mahu sama sekali mempertikai orang lain dengan tulisan ini. Terpulang pada cara fikir masing-masing. Cuma tanyalah pada diri sama ada alasan itu dibuat-buat atau memang ia adalah alasan yang dibenarkan syara. Saya selalu mengingatkan diri saya bahawa Islam itu mudah, tapi jangan ambil mudah.

Ini adalah cara fikir saya. Cara fikir kita mugkin tidak sama. Di dunia ini, kita sebenarnya tidak tahu sama ada timbangan amal kita lebih berat atau tidak dari kejahatan kita. Jom kita berfikir dari segenap segi untuk memberatkan timbangan amal kita.

1 comment:

  1. betul kak...kadang kita pulak yang terlebih susah hati bila pikirkan ttg rezeki...x yakin lah sebenarya tu..betul dak? hehehehe

    ReplyDelete

Please Leave A Cool Message For Me ;) Peace!!!