Wednesday, December 12, 2007

Super Husband N Super Housewife


Bismillah,

Telah lama mengambil masa untuk mengemaskini blog ini. Saya memendam terlalu banyak perkara yang ingin saya abadikan dalam bentuk penulisan. Namun, alhamdulillah, hasil dari memendam ini saya juga telah menghasilkan satu manuskrip untuk direalisasikan sebagai buku. Sekali fikir, ntah ape-ape je. Dua kali fikir, kenapa saya tak cuba? Mungkin aktiviti menulis saja-saja saya akan dapat dimanfaatkan dengan lebih baik oleh saya dan yang membaca...(tupun kalau boleh dimanfaatkan)

Beberapa sahabat karib juga tertanya-tanya tentang keseriusan saya dalam menghasilkan buku. Kerana sebelum ini saya tidak pernah berani gila-gila menghantar apa-apa yang saya hasilkan ke mana-mana penerbitan. Namun, ucapan terima kasih buat 'fghaz' atas kepercayaan dia. Tidak lupa buat suami saya yang sudi jugak memberi semangat kepada saya serta membantu memicit kepala saya waktu saya rasa sesak berfikir.

Hari ini 12 Disember saya sudah mula untuk berfikir tentang pembukaan UWAIYS OPTOMETRIST di Parit Buntar. Memang menunggu loan masuk tu ibaratnya mengharapkan bulan jatuh ke riba. Doakan lah ye moga proses ni semua akan berjalan lancar. Saya pun akan melahirkan anak ke 4 dijangka dalam bulan Februari nanti.

Oh ya, saya telah menulis tentang super husband dengan super housewife untuk dibukukan. Saya tak berani nak menjangka sejauh manakah buku ini membantu pembaca. Saya langsung tidak memikirkan tentang pasarannya kerana tekanan untuk memahamkan pembaca lebih aula untuk saya. Saya mahu tulisan itu menjadi 'ilmu yang dipanjangkan' dan menjadi 'amal berpanjangan' untuk diri saya.

Kerdil rasanya diri kerana tidak ada sumbangan untuk masyarakat telah menyebabkan saya mengambil langkah pasif untuk menghasilkan tulisan dalam bentuk buku. Seperti di dalam blog, saya cuba santai untuk menulis namun saya bimbang ia tidak sesuai. Justeru, apa yang saya tulis adalah keseimbangan formal dan informal.

Saya selalu mahu mencadangkan manual berbanding teori untuk lebih mendekatkan pembaca dengan apa yang saya cuba sampaikan. Jadi, begitulah hasilnya. Kepada mereka yang bakal menjadi pembaca kepada manuskrip itu, saya berdoa moga perjalanan hidup anda akan menjadi mudah. Tidak kerana tulisan saya membantu tetapi atas usaha anda mencari cara menjadi orang yang lebih baik. Apa yang saya pohon adalah doakan saya dengan doa yang baik-baik.

Kepada mereka yang bertanya sebelum ini, saya berharap penerangan saya di sini sedikit membantu. Saya akan kembali menukilkan apa-apa yang saya harapkan akan memberi manfaat semula ke blog saya selepas ini. Salam sayang buat mereka yang berdoa...

Saturday, December 08, 2007

Cintakan ALLAH lebih dari segalanya


Bismillah,
Satu SMS dari suami nan tercinta telah membuat saya duduk senyap seketika. Dia mengharapkan saya mencintai ALLAH mengatasi cinta saya kepadanya. Rupanya mudah untuk menyebut perkara ini berbanding melaksanakannya dengan sepenuh penghayatannya. Senyap saya adalah kerana saya berfikir, adakah selama ini saya telah membelakangkan ALLAH SWT berbanding suami saya?

Dari satu segi, selepas terlaksananya akad nikah antara kami dahulu, maka dia telah menjadi lebih utama dari ibu bapa saya. Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang menunjukkan bahawa andai perlu manusia sujud kepada manusia, maka isterilah yang akan disuruh sujud di kaki suaminya. Maka salahkah pula saya mencintai suami saya.

Saya telah cuba mengutamakan dia berbanding manusia lain. Saya sentiasa mahu menjadi isteri terbaik yang pernah difikirkan selama dia hidup, juga tidak saya harapkan saya akan dicintai mengatasi cintanya kepada ALLAH dan Rasulullah juga ibunya. Saya akan beralah kepada tiga cintanya itu supaya suami saya sentiasa dalam berkat hidupnya.

Justeru, tidak salah kiranya saya mencintai suami saya mengatasi makhluk lain. Pun dia tidak akan mengatasi cinta saya kepada ALLAH SWT dan Rasulullah. Kerana ALLAH telah mentaqdirkan saya menjadi isterinya, maka saya mewajibkan diri saya mencintai suami saya itu. Maka kepatuhan saya adalah kerana saya mematuhi ALLAH dan Rasul juga.

Tetapi apabila diteliti dari sisi yang lain, rupanya tatkala kecewa dengan dia, saya boleh sahaja menjadi terlalu marah sehingga barangkali anak-anak akan turut menjadi mangsa kesabaran saya. Mana ada kehidupan berkeluarga yang terlepas dari masalah? Begitulah kehidupan kita bukan?

Justeru andai benar ALLAH lebih saya cintai dari suami saya, maka sepatutnya saya memahami bahawa itu adalah ujian dari ALLAH dan ALLAH sedang menguji kesabaran saya. Tidak pentinglah apa yang suami saya lakukan, saya masih ada cinta kepada ALLAH. Ini akan membuatkan kehidupan saya tidak gelap.

Kerana ketika terlupa kepada ALLAH, rupanya isteri yang terlalu rapat dengan suami akan merasa kehidupannya gelap tanpa suami disisi. Betapa cinta kepada ALLAH perlu dikukuhkan sekukuh-kukuhnya sehingga tiada lagi gangguan lain yang boleh menggoncang cinta ini.

Selain kerahmatan yang ALLAH beri dalam rumahtangga kita, ALLAH juga memberi ujian ini agar suami isteri lebih memahami antara satu sama lain. Setelah ALLAH benar-benar kita cintai melebihi segala yang lain, kita tidak akan takut kehilangan cinta lain termasuklah cinta kepada suami itu.

Tidaklah bermaksud untuk melupakan cinta kepada suami tetapi diakui, cinta manusia punya pasang surutnya. Justeru kita tidak akan kecewa dengan ALLAH andai dilanda badai masalah seperti apa sekalipun. Buat suamiku, terima kasih tiada terhingga, bukan tidak kau didikku sebelum ini berkenaan cinta kepada ALLAH ini tetapi di detik ini rupanya baru dapat ku resapi maksudnya.