Bismillah,
Semoga mereka yang melintasi blog kesayangan hamba ini sentiasa mendapat perlindungan dan rahmat ALLAH selalu. Berkenaan tajuk di atas, saya tidak pandai untuk mengulas banyak, Cuma sangat tertarik dengan nukilan ,Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Universiti Alexandria)Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy (M) Sdn. Bhd. Yang mengulas dari segi hadis-hadis dan penerangan saintifik kenapa Islam telah menggariskan beberapa perlakuan seks yang dihalalkan dan mengharamkan perlakuan yang lainnya. Sebagaimana saya, saya berdoa mereka yang lain juga mendapat kefahaman yang lebih kukuh. Setiap satu ketetapan itu sentiasa ada hikmahnya, maka beruntunglah bg mereka yg berfikir.
Islam mengizinkan seseorang melakukan persetubuhan mengikut cara ataupun kedudukan yang digemarinya, namun memuaskan nafsu melalui saluran dubur atau anal sex adalah dilarang. Allah berfirman, "Isterimu adalah kebun bagimu maka datangilah kebunmu dengan cara mana yang kamu mahu." (Surah Al-Baqarah ayat 223)
Wahyu ini diturunkan berhubung dengan sahabat Omar Al-Khattab yang menyetubuhi isterinya mengikut saluran biasa tetapi dari belakang, lantas beliau berasa takut dan terus menemui Nabi menceritakan tentang apa yang berlaku. Tidak berapa lama selepas itu, ayat ini pun diturunkan dan Nabi terus berkata kepada Omar, "Bersetubuhlah dari hadapan ataupun dari belakang asalkan tidak dilakukan pada waktu haid dan tidak melalui dubur." (Riwayat Ahmad)
Berhubung dengan persetubuhan melalui dubur, ia dianggap sebagai satu dosa besar. Nabi bersabda, "Allah tidak mahu melihat kepada lelaki yang mendatangi lelaki ataupun wanita di duburnya." (Riwayat Tarmuzi)
Seks Yang Halal Dan Kesihatan
• Ketika syahwat memuncak, badan seseorang mengeluarkan bahan-bahan kimia seperti endorphins yang berfungsi mencegah kesakitan dan mendatangkan ketenangan
• Sentuhan di antara suami isteri merangsang pengeluaran bahan oxytocin yang menghasilkan rasa tenang dan damai
• Mengikut kajian yang dilakukan oleh Majlis Penyelidikan Sains Manusia seperti yang disebutkan dalam News24.com, bertarikh 12 Februari 2001, sentuhan juga merangsang pengeluaran hormon serotonin yang meningkatkan daya ketahanan badan dan sekali gus mencegah seseorang dari dijangkiti penyakit
• Seks juga berfaedah untuk kesihatan jantung. Dr. Paul Pearsall, Pengarah Perubatan Perlakuan atau Behavioural Medicine di Hospital Beaumont di Detroit, di dalam bukunya Sexual Healing berpendapat, kesihatan jantung tidak hanya bergantung kepada pemakanan, senaman dan genetik, malah ia juga bergantung kepada kesihatan emosi dan sosial. Kajian beliau menunjukkan ketidakpuasan di dalam hubungan seks sering kali mengakibatkan serangan sakit jantung di samping penyakit-penyakit yang lain seperti pening migraine dan radang sendi.
Bahaya Seks Ketika Haid
Firman ALLAH SWT :
"Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah, haid adalah kotoran. Justeru, hendaklah kamu tidak menyetubuhi wanita ketika haid sehinggalah mereka suci daripadanya." (Surah Al-Baqarah ayat 222)
Nabi bersabda :
"Sesiapa yang menyetubuhi wanita yang sedang haid ataupun menyetubuhi wanita di saluran duburnya ataupun mendatangi tukang tenung nasib dan mempercayainya, sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Muhammad." (Riwayat Ahmad dan Tarmuzi)
Ulama berkata :
Imam Al Ghazali merumuskan hukum ini di dalam Ihya Ulumuddin dengan berkata, "Janganlah suami menyetubuhi isteri yang sedang haid dan juga jangan sesudah haid sebelum mandi wajib, kerana yang demikian itu diharamkan dengan dalil Al-Quran."
Kajian saintifik :
• Mengikut Dr. Diana Antoniskis (MD) dari Kumpulan Penyelidikan dan Pendidikan yang beribu pejabat di Oregon, risiko jangkitan kuman HIV meningkat di kalangan wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid ataupun dengan lelaki yang tidak berkhatan.
• Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika, pada Perhimpunan kesebelas Pertubuhan Antarabangsa Berhubung Penyakit-Penyakit Jangkitan Seksual di New Orleans pada tahun 1995 melaporkan, menjauhi hubungan seks ketika haid ataupun ketika mengalami pendarahan di bahagian faraj adalah penting untuk mengurangkan risiko dijangkiti kuman HIV bagi lelaki dan wanita.
• Laporan itu juga menjelaskan, wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid meningkatkan risiko dijangkiti AIDS sebanyak enam kali ganda.Persetubuhan pada waktu haid juga boleh mengakibatkan pendarahan yang teruk ke atas wanita.
• Kajian yang dilakukan oleh Dr. Winnifield Cutler dan rakan-rakannya dari Institut Athena Bagi Kesihatan Wanita di Chester Springs menunjukkan, wanita yang hampir putus haid atau perimenopausal, yang kerap mengadakan hubungan seks ketika haid sering kali mengalami masalah pendarahan yang teruk daripada biasa. Kebiasaannya kes-kes seperti ini akhirnya terpaksa menjalani pembedahan berisiko tinggi untuk membuang rahim atau hysterectomy dan ovari atau ovariectomy. Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal of Psychosomatic Obstetrics and Gynaecology pada tahun 1996.
• Bagi golongan wanita, tiub fallopian dan ovari mereka boleh diserang kuman bakteria sehingga menyebabkan keputihan, sakit dan demam yang kuat. Risiko untuk menghidap penyakit ini adalah tinggi di kalangan mereka yang melakukan hubungan seks ketika haid. Hal ini disebabkan, kebiasaannya tiub fallopian dan ovari dilindungi daripada serangan bakteria oleh bahan asid yang terdapat di kawasan faraj atau vagina. Ketika haid, kawasan faraj menjadi alkali justeru memudahkan kuman untuk membiak dan mendatangkan penyakit terutamanya jika berlaku persetubuhan ketika itu.
Seks Bebas Dan Penyakit Jangkitan Seksual
Nabi Muhammad bersabda, "Wahai Muhajirin, lima bala akan ditimpakan ke atasmu dan aku berdoa agar kamu tidak ada ketika bala ini menimpa..... satu di antaranya ialah, apabila zina zahir di dalam masyarakat secara terang-terangan, wabak yang dahsyat dan penyakit-penyakit yang belum pernah menjangkitimu akan menyerangmu ketika itu." (Riwayat Ibn Majah, Al-Baihaqi dan Al-Bazzar)
Penyakit-penyakit jangkitan seksual atau STD (sexually transmitted diseases) kerap menjangkiti individu melalui hubungan seks rambang. Lebih kurang dua puluh jenis penyakit dari kumpulan ini telah dikenal pasti di antaranya ialah syphlis, gonorrhea, genital herpes, genital wart, trichomoniasis, bacterial vaginosis, infeksi cytomegalovirus, infeksi chlamydia dan yang paling berbahaya ialah AIDS. Penyakit-penyakit ini boleh menyebabkan maut.
Di Amerika sahaja ia menjangkiti 13 juta manusia setahun dan majoritinya ialah dari kalangan kaum wanita. Kos yang diperlukan untuk merawat dan mencegahnya menjangkau $10 bilion. Kesemua ini menunjukkan ajaran Islam sememangnya relevan sampai ke hari Kiamat.
Justeru, rugilah mereka yang mengutamakan hawa nafsu serta mengabaikan landasan Islam yang sememangnya saintifik lagi menyihatkan