Sunday, December 23, 2007

Air mata ku menitik


Bismillah,
Bila direnung akan apa yang ada pada diri, sekalipun tidak di dalam kemewahan, saya masih berasa cukup. Rumah yang ada kelengkapan asas, ada elektrik, ada air, ada makanan dan minuman yang mudah di dapati. Sekalipun tiada simpanan yang banyak, namun alhamdulillah tidak perlu lagi menambah hutang semata-mata mahu makan. Hutang pun alhamdulillah, makin lama dah semakin berkurang.

Pagi ini datang seorang ibu membawa keratan akhbar. Seperti biasanya saya bukan tidak mahu membaca tetapi serasanya saya tahu apa isinya. Kisah dia mungkin pernah diletakkan di situ. katanya suaminya kemalangan dan tangan kanannya tidak lagi berfungsi. Saya tak pasti mungkin suaminya juga mengalami kelumpuhan yang menyebabkan mereka tidak mempunyai seorang ketua keluarga yang mampu menyediakan keperluan asas dengan baik lagi.

Melihat kepada anaknya yang tidak berkasut, hampir sama tinggi dengan Usamah saya yang usianya nak masuk 3 tahun bulan dua nanti. Dapat saya bayangkan betapa anak ini ingin membesar dengan kasih sayang ibu bapa namun kasut sepasang yang saya mampu beli untuk anak saya tak dapat disediakan oleh ibunya ini. Yang lebih menyedihkan, ibunya memimpin anak itu tanpa berkasut. Kakinya ada kudis, mungkin dah dijangkiti pelbagai kuman sepanjang perjalanan mereka meminta sedekah. Sekalipun anak saya ada kudis, pasti saya mencari ubatnya segera.

Tempat saya bekerja kebetulannya ada TV sedang menayangkan kartun Tom & Jerry. Kata ibunya, anak itu jarang sekali berkesempatan untuk melihat TV apatah lagi cerita kartun kerana tak ada TV di rumah mereka. Sekalipun saya dan suami jarang membukakan TV di rumah, namun saya kira anak saya tidaklah seperti budak itu yang berdiri di depan TV dan enggan pergi bila maknya mahu mengajaknya keluar.

Kemudian ibunya bertanya di mana terdekat ada jual nasi, saya katakan di sebelah ni ada kafe tapi mahal. Memang mahal dan saya rasa tak padan untuk dia makan di situ. mungkin dia boleh mencari makanan di tempat yang lebih murah dan lebihan duitnya bolehlah dia belikan perkara yang lain. Sekali lagi saya terkenang, pagi tadi tangan ini dah menyuapkan tiga2 anak saya makan dan saya rasa mereka cukup kenyang dengan singgang daging masakan mertua saya. Selepas itu, mereka dikenyangkan lagi dengan susu yang suami saya buatkan. Malang sekali ibu itu dan anaknya belum makan lagi sedang jam dah pun pukul 11 pagi.

Kelihatan pulak mcm seluar anak itu telah basah. Mungkin juga terkena air kencing. Dari gayanya seperti tidak memakai diapers. Sedang anak saya yang sebaya dengannya, kalau nak balik kampong ke, saya boleh pakaikan diapers kalau saya mahu. Asmaa’ dan Usamah saya dah tak pakai diapers, alhamdulillah sekurang-kurangnya ringan satu beban. Tapi ibu ini, makan lagikan tak cukup apatah lagi nak belikan diapers.

Melihat pada rambut budak tu yang kering dan kekuningan, saya teringat kepada rambut-rambut anak saya. Tak pasti dari faktor apa tapi mungkin juga ibu kepada budak itu tak mampu nak membelikan syampu atau sabun seperti saya belikan kepada anak-anak saya. Malah anak-anak saya boleh diminyakkan lagi rambut mereka. Pastilah sebotol minyak RM 2 pun besar nilainya untuk mereka.

Setelah membezakan keadaan ini, saya jadi insaf andai saya mengeluh-ngeluh sebelum ini kerana rasa tidak dapat membeli sesuatu. Saya juga menilik anak-anak saya yang tidak diberikan barang permainan yang keterlaluan seperti orang yang lain yang mampu membeli pelbagai barang untuk anak mereka namun anak saya masih lebih beruntung dari budak tadi.

Setara manapun kita, masih ada yang lebih tidak berupaya dari kita. Maka apa pula yang dapat kita lakukan sebagai orang yang memiliki KELEBIHAN? Fikirkanlah…

**Beras sepeket berharga kurang dari RM 20 mungkin sangat bernilai untuk sebuah keluarga yang kelaparan dan terpaksa mengikat perut untuk mendapatkan beras….

Wednesday, December 12, 2007

Menggalakkan Anak Berjemaah


Saya masih teringat lagi buku teks kalau tak salah saya masa saya darjah dua. Ada bab mana ek dia mcm sorg bapa suruh anak2 dia patahkan sebatang lidi. Dan lidi tu mudah aje dipatahkan. Kemudian, dia suruh pulak anak-anak dia patahkan secekak lidi dan ternyata susah untuk dipatahkan.

Jadi, utk kesimpulannya, kalau kita ramai susah lah untuk dirobohkan tapi kalau kita berseorangan senang la pulak kita nak dijatuhkan. Dan satu lagi cuba kalau beramai2 mematahkan lidi yang secekak tu adalah lebih mudah. Maka di sini pengajarannya pulak kalau kita bekerjasama maka benda yang susah akan menjadi lebih mudah.

Satu lagi gambaran mudah untuk menggambarkan kelebihan berjemaah adalah segerombolan kambing yang sedang meragut rumput. Tiba-tiba seekor dari kambing-kambing tu tersisih dari grup yang lain. Maka serigala yang telah lama menanti pun akan mendapat peluangnya di masa itu.

Jadi, bagi mengelakkan kita tersesat jalan dalam menentukan arah kehidupan, berjemaahlah. Berjemaah tidak dalam beribadah sahaja malah apa sahaja aktiviti harian perlu dilakukan secara berjemaah. Bahasa yang lebih biasa digunakan adalah bekerjasama.

Sebenarnya, perkara yang lebih penting di sini adalah perasaan kasih sayang sesama ahli keluarga. Itu adalah perkara yang tidak kurang pentingnya. Semangat kekitaan yang kuat ini akan membuatkan ahli keluarga saling jaga menjaga antara satu sama lain.

Sabda Rasulullah SAW : “Pertolongan dan rahmat ALLAH bersama dengan orang yang berjemaah”. (Riwayat at-Tirmizi)

Sabda Rasulullah SAW : “Solat berjemaah itu lebih baik daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat”. (Riwayat Muslim)

Ini adalah satu sebab lain kenapa mesti ahli keluarga berjemaah. Pertolongan ALLAH akan sentiasa bersama dengan kita. Apa lagi yang kita perlukan melebihi dari perlunya kita kepada pertolongan ALLAH SWT. Selain itu, pahala melakukan ibadah secara bersendirian dengan secara berjemaah jauh sekali bezanya.

Sebagai contoh perkara yang boleh dilakukan secara berjemaah di dalam rumahtangga ialah :
• Solat
• Membaca al-Quran
• Berzikir
• Berdoa
• Makan
• Bermain
• Membuat kerja rumah
• Membuat kerja sekolah