Monday, November 16, 2009

Bila Homeschool Patut Dimulakan?


Bismillah,

Pada mulanya, saya juga merasa ragu-ragu (sebenarnya menggelabah) untuk menjalankan HS. Manakan tidak, saya mempunyai 4 orang anak dan mempunyai perniagaan dalam bidang optikal yang turut memerlukan penuh perhatian sebelum perniagaan ini benar-benar berjalan dengan lancar. Suami saya juga baru memulakan perniagaan ayam belandanya dan ini juga memerlukan tumpuan juga (idea ini juga terhasil kerana rasa untuk meng HS kan anak-anak).

Walaubagaimanapun, saya lebih suka untuk berfikiran positif (kadangkala saya juga pesimis). Demi melihat anak-anak yang dahagakan kasih sayang dan ilmu, saya kuatkan juga semangat supaya mereka tidak terkapai-kapai dan terus menjadi mangsa. Saya dan suami tidak mahu nantinya akan dilabel ‘pandai beranak, tak pandai nak jaga’.

Sebenarnya, untuk bermula tidaklah susah. Anak kecil mempunyai naluri ingin tahu yang sangat tinggi. Jika anda cuba tulis apa yang mereka tanyakan hari-hari, pasti anda akan terkejut dengan soalan-soalan itu. Dengan menjawab soalan mereka ini dengan jawapan yang munasabah, anda telah memulakan langkah murni untuk memberi HS kepada anak anda. Ya! Semudah itu.

Tapi jangan lupa, pendidikan ini hanya akan berlangsung jika anda memberikan jawapan yang munasabah kepada soalan mereka. Adakala secara tidak sedar, kita mungkin akan menipu anak-anak mungkin sekadar untuk berlucu, tapi bagaimana jika mereka mengambil serius apa yang anda katakan?

Anda juga tidak dikira menjalani kehidupan HS jika anda tidak menjawab soalan anak anda. Walaubagaimana sibuk pun anda, jika anda rasa sukar memberi jawapan apabila mereka bertanya, mintalah kepada mereka dengan cara baik bahawa anda akan memberi jawapannya selepas kerja anda selesai. “Sayang, ayah buat kerja ayah sekejap, lepas ni ayah jawab soalan tu boleh?” Namun jangan terlampau lama bertangguh.

Jika anda suka bertangguh, rasa ingin tahu anak-anak mungkin akan terpadam dengan cepat sekali. Ini adalah satu kerugian besar dimana kita telah membuatkan fitrah ingin tahu anak kita akan lenyap. Malah dikhuatiri mereka akan mencari ilmu itu dari sumber yang salah.

Sementara itu, peruntukan sedikit masa untuk anda menyusun jadual anda. Anda harus berfikir masa bilakah yang paling sesuai untuk anda dekati anak anda dan mengajarnya apa sahaja yang dia mahu tahu dan apa sahaja yang anda mahu dia tahu. Yang pentingnya, jangan terlalu memaksa anak-anak contohnya mengejutkan mereka dari tidur pada masa anda telah tetapkan mereka untuk belajar mengira. Bimbangnya, mereka akan hilang minat terhadap ilmu pula akhirnya.

Jadi, bila anda mahu mulakan??

Comments
0 Comments

0 cool comments:

Post a Comment

Please Leave A Cool Message For Me ;) Peace!!!