Tatkala melalui kawasan perkuburan untuk menghantar anak-anak ke sekolah pagi-pagi, suami saya mengajarkan mereka untuk memberi salam kepada ahli kubur. Ringkas sahaja "Assalamualaikum ya ahlal qubur" dan setakat ini mereka selalu mengamalkannya.
**Sila rujuk link ini untuk melihat Adab-adab Ziarah Kubur
Lalu anak-anak sering sahaja melantunkan soalan mengenai apakah yang berlaku di bawah tanah sana. Maka suami saya memberikan jawapan yang sebagaimana biasa. Di bawah sana, jika kita berlaku mulia di dunia maka insya ALLAH kubur adalah satu daripada taman syurga. Namun jika kita menjadi orang yang hina maka dikuburlah lagi bermulanya azab sebelum menanti pembalasan di Akhirat sana.
Terkedulah saya yang turut mendengar, lalu cuba mengheret suami untuk bermuhasabah, "Kita di mana agaknya abang??". Sungguhlah rasa takut sekali apabila menghitung amalan diri sendiri. Serasanya tidak melakukan yang salah namun nilaian kita tidak sama sekali dengan nilaian ALLAH. Barangkali amalan yang bersalut riak, ketidakikhlasan dan lain-lain bentuk kecacatan akan merosakkannya.
Suami saya berkata, "Umi tak apa, kalau abah redha, insya ALLAH senanglah umi masuk syurga. Abah ni yang susahnya, kena buat macam-macam lagi untuk cari redha ALLAH...". Seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW : "Mana-mana wanita yang meninggal-dunia sedang suaminya redha kepadanya pasti akan masuk ke dalam Syurga."
**Baca lagi di link ini tentang redha suami.
Jika di dunia, seandainya saya mahu kan sesuatu, saya cukup suka mengusik suami dengan menggeletek. Dia cukup alah kalau diusik begitu dan pasti dia akan iyakan apa yang saya mahu. Tapi andai mahu masuk ke syurga, mampukah lagi menggeletek dia begitu kelak? Sesungguhnya duhai suami, tidak semudah itu mendapat redhamu.
Semoga, kami akan tetap bersama di sana nanti *_*